Datuk Hasry Sham Chasmen. Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu rasa goyah melaksanakan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun sekiranya Perikatan Nasional (PN) benar-benar menunaikan manifesto pilihan raya.

Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Hasry Sham Chasmen berkata, penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu hanya menggambarkan ketakutan PN yang enggan tewas di tangan pengundi  muda.

“Kita lihat dua tahun sebelum ini Pakatan Harapan (PH) telah memenangi PRU-14 dan mereka banyak berjanji dengan manifesto-manifesto.

“Jika PM atau kerajaan PN buat kerja, saya rasa tak perlu goyah dengan apa yang berlaku dengan situasi ketika ini, di mana pelbagai persepsi buruk berlaku kepada kerajaan hari ini.

“Saya rasa tak perlu risau dan kita naikkan semangat undi 18 tahun, jadikan ia sebagai satu kenyataan.

“Tapi rasa sebaliknya PM atau ketua kerajaan ketika ini goyah kerana mereka tahu mereka telah melakukan banyak kesilapan,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Pada Khamis lalu, SPR dalam kenyataannya memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Situasi sedemikian, katanya menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

Dalam masa yang sama, Hasry Sham turut menyifatkan keputusan SPR sebagai satu penafian kepada hak pengundi 18 tahun sedangkan pindaan akta berkenaan telah diluluskan dua tahun lalu.

“Ini satu perkara yang baik dan pihak kerajaan atau pun pembangkang sebelum ini bersetuju dengan Undi 18 dan saya rasa kita tidak boleh menafikan hak orang muda kerana hak orang muda ketika ini.

“Saya harap kerajaan ambil berat lepaskan mereka pengundi 18 supaya kita tentukan hak mereka yang telah dipersetujui di Parlimen sebulat suara sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, hak pengundi 18 tahun perlu diberikan yang sepatutnya dikuatkuasakan bermula Julai tahun ini sesuai dengan perkembangan anak muda kini yang celik politik tanah air.

“Kalau kita lihat ketika ini, umur 18 tahun begitu matang dengan politik tanahair kerana kita ada pelbagai saluran maklumat.

“Kita tahu berkaitan dengan apa situasi politik ketika ini dan saya amat berharap agar kerajaan seterusnya memberi hak mengundi itu balik kepada Undi 18.

“Kami yakin pengundi 18 adalah penentu masa depan pengundi anak muda ketika ini untuk menentukan siapakah bakal kepimpinan negara atau peneraju pada masa akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.