KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang lelaki warga Sri Lanka yang berdiri dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah loriĀ membawa kepada penemuan sejumlah minuman keras tidak bercukai di Klang semalam.
Minuman keras pelbagai jenama yang diseludup oleh sindiket di sekitar Lembah Klang yang akhirnya ditumpaskan dengan tertangkapnya lelaki yang sama.
Pasukan Polis Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih telah menahan lelaki berusia 25 tahun itu pada pukul 4.20 oetang semalam di hadapan sebuah premis di Persiaran Raja Lumu, Pelabuhan Klang.
Pegawai Memerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed berkata, hasi pemeriksaan lanjut di bahagian belakang kenderaan itu, pasukan PGA berjaya menjumpai minuman keras pelbagai jenama.
“Siasatan lanjut mendapati kesemua minuman keras berjenama itu disyaki diseludup dan tidak bercukai. Jumlah keseluruhan minuman keras yang dijumpai adalah sebanyak 1548 botol dengan anggaran nilainya berjumlah RM149,040.
“Manakala nilai cukai adalah sebanyak RM154,322.55,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Rizal, turut dirampas dalam pemeriksaan itu adalah lori yang menyeludup minuman keras itu serta telefon bimbit milik lelaki berkenaan.
Menurutnya, tangkapan ke atas pemuda itu dilakukan dan barang rampasan itu dibawah ke Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.
“Dengan tangkapan itu, PGA berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran arak tidak bercukai yang bergiat akif di sekitar Lembah Klang.- MalaysiaGazette