JPJ Pulau Pinang sita dua buah lori tipper yang mempamerkan LKM palsu selain pemandunya tiada lesen yang sah.
Pamerkan LKM palsu antara kesalahan dikenal pasti.

SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita dua buah lori tipper yang mana pemandunya didapati tidak memiliki lesen sah selain menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, perbuatan dua pemandu lelaki, termasuk seorang warga Indonesia, terbongkar selepas pihaknya memeriksa kenderaan berat itu dalam dua operasi berasingan di Batu Kawan dan Kubang Menerong di sini hari ini.

Adenan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori yang dipandu lelaki Indonesia itu kita dapati dia tidak mempunyai lesen yang sah, LKMnya sudah tamat tempoh serta kenderaan tersebut tiada pelindungan insuran.

“Pemeriksaan ke atas lori yang dipandu lelaki berusia 30-an itu pula mendapati pemandunya mempamerkan LKM palsu yang sudah tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Adenan, pemilik kenderaan barangan dinasihatkan agar memastikan pemandu mereka adalah warga tempatan dan memiliki lesen memandu yang sah semasa beroperasi.

Dua buah lori tipper disita dalam dua operasi berasingan di Seberang Perai hari ini.

“Selain itu, mereka juga perlu memastikan LKM yang dipamerkan adalah tulen daripada keluaran pihak JPJ,” ujar beliau.

Tambah Adenan, penguatkuasaan secara berterusan akan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pemilik kenderaan barangan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast