ISMAILIA, Mesir – Kapal korek dan kapal penarik terus bekerja keras secara berganti-ganti untuk melepaskan kapal kontena besar-yang tersekat di laluan air sibuk.
Bagaimanapun, sumber-sumber memaklumkan usaha itu disulitkan dengan batu-batuan di bawah kapal.
Kapal pengeruk telah mengalihkan 27, 000 meter padu pasir pada kedalaman 18 meter dan kerja-kerja itu berterusan sepanjang 24 jam mengikut keadaan angin dan pasang surut, kata Suez Canal Authority (SCA) dalam satu kenyataan.
Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi telah memerintahkan persiapan untuk kemungkinan untuk mengalihkan sebahagian daripada 18,300 kontena kapal, kata Pengerusi SCA Osama Rabie kepada Extra News Mesir.
Sebarang operasi untuk meringankan muatan kapal tidak akan dimulakan sebelum hari Isnin, kata sumber SCA, ketika pasukan penyelamat berusaha memanfaatkan air pasang sebelum surut minggu depan untuk melakukan pergerakan kapal.
Ever Given sepanjang 400 meter telah kandas dalam keadaan menyerong di bahagian selatan terusan ketika angin kencang lebih daripada lima hari lalu.
Kejadian itu telah menghentikan lalu lintas penghantaran di salah satu jalan air paling sibuk di dunia.
Sekurang-kurangnya 369 buah kapal sedang menunggu untuk transit ke terusan itu, kata Rabie.
Ia termasuk berdozen-dozen kapal kontena, kapal induk, kapal tangki minyak dan kapal gas asli cecair (LNG) atau kapal gas petroleum cecair (LPG).
Pengirim yang terjejas akibat halangan itu mungkin diberi potongan harga, kata Rabie, sambil menambah beliau percaya siasatan akan menunjukkan terusan itu tidak bertanggungjawab menyebabkan Ever Given terkandas.
Ever Given merupakan salah satu kapal kontena terbesar di dunia.
Kapal-kapal penyelamat dari SCA dan sepasukan dari syarikat Belanda, Smit Salvage telah menimbang sebanyak mungkin daya tarik yang dapat mereka gunakan pada kapal itu tanpa mengambil risiko kerosakan dan sama ada beberapa kargo perlu dikeluarkan dengan kren untuk mengapungnya kembali.
Pakar telah memberi amaran bahawa proses seperti itu mungkin rumit dan panjang.
Rabie mengatakan harapannya untuk tidak menggunakan kaedah itu tetapi Mesir akan menerima tawaran bantuan antarabangsa jika ia beralih ke strategi tersebut. – MalaysiaGazette