Kes kematian di Mexico didakwa lebih tinggi berbanding yang dilaporkan sebelum ini. foto Agensi
MEXICO CITY – Mexico menerbitkan angka disemak semula yang menunjukkan jumlah kematian yang disebabkan oleh koronavirus adalah 60 peratus lebih tinggi daripada yang dilaporkan sebelumnya.
Lebih daripada 321,000 orang dipercayai mati akibat Covid-19 di negara ini.
Jumlah yang disemak semula itu meletakkan Mexico negara kedua tertinggi dalam jumlah kematian berkaitan Covid di dunia, selepas Amerika Syarikat (AS).
Presiden Andres Manuel López Obrador telah menghadapi kritikan kuat kerana menangani krisis tersebut.
Pembangkang telah menuduhnya meremehkan keparahan wabak tersebut dan menyalahkannya atas kelewatan dalam program vaksinasi.
Laporan yang disemak semula itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Mexico menunjukkan pada akhir minggu keenam tahun 2021 telah berlaku sebanyak 294, 287 kematian “berkaitan dengan Covid-19” – meningkat dari 182,301 angka yang disahkan sebelumnya.
Sejak pertengahan Februari, lebih daripada 26,772 kematian yang berkaitan dengan Covid-19 telah dilaporkan di seluruh Mexico yang menjadikan jumlahnya lebih daripada 321,000.
Itu meletakkan Mexico di atas Brazil, yang mencatatkan 310,000 kematian dan di bawah AS yang mencatatkan 549,000 kematian – walaupun mempunyai populasi 126 juta jauh lebih kecil daripada kedua-dua negara.
Pakar telah lama memberi amaran bahawa jumlah kematian sebenar Mexico mungkin jauh lebih tinggi kerana kekurangan ujian.
Ini kerana kekurangan tempat rawatan intensif di banyak negeri telah menyebabkan sebilangan besar pesakit Covid-19 mati di rumah. – MalaysiaGazette