KUALA LUMPUR – Moody’s Analytics menjangkakan indeks harga pengguna (IHP) Malaysia tahun ini ialah pada 3.0 peratus tahun ke tahun.

Ahli ekonomi kanan Asia Pasifik Katrina Ell berkata, IHP utama Malaysia mencecah 0.1 peratus tahun ke tahun pada bulan Februari, menjadikannya bacaan positif pertama dalam tempoh hampir setahun.

“Harga minyak yang lebih tinggi akan membuat inflasi meningkat dalam beberapa bulan mendatang, tetapi akan dikekang oleh penetapan harga minyak domestik kerajaan di bawah pakej rangsangan baru-baru ini yang bernilai RM20 bilion, 1.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam satu analisis bertajuk “Macro Roundup: Is Inflation the Next Worry in Asia?” yang diterbitkan pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, data inflasi yang dikeluarkan minggu lalu oleh Hong Kong, Singapura dan Malaysia menunjukkan inflasi menyederhana di negara-negara ini.

“Inflasi tenang di sebahagian besar Asia, dan dijangka hanya meningkat secara berperingkat selepas 2021 berikutan peningkatan harga minyak dan pembukaan semula ekonomi.

“India dan Filipina adalah terkecuali. Di negara-negara ini, inflasi berada di atas tahap keselesaan dan ini menambah kepada senarai mencabar untuk penggubal dasar,” kata beliau.

Katrina berkata, inflasi di China tidak stabil walaupun ekonominya berada jauh lebih maju dalam pemulihan COVID-19 berbanding yang lain.

Dalam pada itu, Katrina juga berkata, inflasi adalah kebimbangan besar berikutnya di Asia, didorong oleh kenaikan harga minyak dan pembukaan semula ekonomi, didorong oleh pelancaran vaksin global yang semakin pantas.

“Kesan asas rendah daripada permintaan yang terjejas pada tahun 2020 juga merupakan faktor. Kami berpendapat kebimbangan itu terlalu awal walaupun inflasi diramal meningkat sepanjang tahun.

“Tekanan inflasi dari sudut permintaan pula dijangka terus mereda di seluruh rantau sehingga separuh kedua 2021,” katanya. – MalaysiaGazette