KUALA LUMPUR – Seramai 7,000 pelajar daripada 60 buah sekolah rendah di Beluran, Sabah menerima sumbangan menerusi program Back to School anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Bantuan Back to School yang merupakan salah satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) NAFAS, mensasarkan pelajar dalam kalangan ahli keluarga petani, penternak dan nelayan untuk membantu meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah terutama ketika membuat persediaan anak-anak ke sekolah.

Inisiatif ini juga selari dengan komitmen Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan kebajikan golongan ini sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan.

NAFAS memperuntukan sebanyak RM580,000 untuk program bantuan Back to School.

Selain itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada majlis yang sama di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran menyerahkan 13 buah enjin sangkut kepada penerima yang layak.

Menurutnya, kerajaan melalui beberapa pendekatan terbaharu akan terus memperkasakan peranan NAFAS dengan melantiknya sebagai pemborong tunggal dalam program Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

Sementara itu, RonaldĀ  menggesa penduduk Sabah untuk terus mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, suntikan vaksin itu penting memandangkan Sabah merupakan adalah antara negeri yang merekodkan jumlah pendaftaran terendah.

Katanya, sokongan serta kerjasama penuh rakyat terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu bagi memastikan kejayaan negara dalam melandaikan pandemik Covid-19.

Sementara itu pada Program Malaysia Prihatin yang diadakan di Dewan Serbaguna Beluran, Ronald menyampaikan taklimat berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan Proklamasi Darurat yang sedang berkuatkuasa.

Taklimat tersebut meliputi langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diambil kerajaan bagi memastikan aspek kesihatan dan kelangsungan hidup dapat diseimbangkan.

Program itu merupakan inisiatif kerajaan bagi memberi penerangan di seluruh negeri ini secara berperingkat kepada rakyat mengenai strategi pengurusan krisis pandemik Covid-19 serta langkah-langkah yang diambil dalam proses pemulihan ekonomi negara.

Turut disentuh adalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang giat dilaksanakan di negara ini. – MalaysiaGazette