Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap ketika di temubual oleh media selepas Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan MyVAC KBS-MOSTI di Menara KBS, Putrajaya.Foto FIKRI YAZID, 31 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet mengesahkan akan membentangkan semula perincian pelaksanaan undi 18 tahun (Undi18) minggu depan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, perincian semula itu akan dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang),  Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Saya bersama Khairy (Jamaluddin Abu Bakar) keduanya membangkitkan dan kita juga diberikan penjelasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan kita kemukakan pandangan balas tentang formula dan cadangan tertentu.

“Saya nak tekankan satu perkara semua anggota Kabinet undi pelaksanaan itu dan tidak ada sebab isu terkebelakang.

“Itu adalah bahagian SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) walaupun demikian kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita nak kena pastikan SPR dapat laksamana dalam kadar segera dengan segala formula dalam apa juga ruang yang boleh.

“Perincian dia mungkin minggu depan kalau dibawa semula oleh menteri,” katanya dalam sidang media Majlis penyerahan penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support System (MYVAC) di kementeriannya hari ini.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata, perincian itu akan menjurus kepada dua perkara iaitu pengundi untuk 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

“Apa yang kita diberitahu adalah masalah sistem untuk membuat pendaftaran automatik itu belum lagi siap jadi ini yang boleh menangguhkan pelaksanaan.

“Jadi Reezal telah mengemukakan pandangan yang mana saya setuju supaya dua perkara ini diasingkan.

“Kalau tidak boleh diasingkan pendaftaran secara automatik memerlukan sistem software, kenapa nak tangguh Undi18, ia boleh diteruskan walaupun tidak automatik mereka boleh daftar secara biasa.

“Itu adalah perkara yang kita bangkitkan dan akan diputuskan di Kabinet minggu depan,” katanya dalam sidang media yang sama.

Reezal Merican sebelum ini antara wakil rakyat yang mengundi pindaan Perkara 47, Perkara 119 dan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan pada 25 Julai 2019 berkata kenyataan SPR pastinya turut membangkitkan kekecewaan baginya.

Penangguhan pelaksanaan Undi18 sememangnya mengundang rasa kecewa dan terkilan khususnya khususnya para belia dan anak muda.

Malah Khairy Jamaluddin berkata, alasan SPR untuk menangguhkan Undi18 adalah tidak munasabah.

Pada Minggu lalu, SPR memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast