Zahid Quraishi

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah mencalonkan Zahid Quraishi sebagai Hakim Persekutuan Mahkamah di negara itu.

Jika dipersetujui Senat, beliau akan memegang jawatan tersebut di New Jersey.

Portal tempatan The National News melaporkan, Biden telah mengemukakan 11 orang calon hakim termasuk masing-masing tiga wanita kulit hitam dan wanita Asia-Amerika yang bakal berkhidmat di Columbia serta Maryland.

“Pencalonan ini sebagai mewakili kepelbagaian latar belakang, pengalaman dan perspektif yang akan mengukuhkan lagi negara ini.

“Mereka berkelayakan dan bersedia untuk memberikan keadilan dan kesetiaan di bawah perlembagaan serta tidak berat sebelah kepada rakyat Amerika,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Quraishi yang berketurunan Pakistan itu dicalonkan sebagai Hakim Persekutuan, juga merupakan individu Muslim Amerika pertama menjadi Hakim Mahkamah Majistret di daerah New Jersey pada Jun 2019.

Dilahirkan di New York dan dibesarkan di New Jersey, Quraishi mendapat pendidikan di  Sekolah Undang-Undang di John Jay College of Criminal Justice pada tahun 1997 dan melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di Rutgers Law School pada tahun 2000.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya New Jersey, selain mempunyai pengalaman bertugas sebagai Penolong Ketua Penasihat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS.

Quraishi telah menerima ucapan tahniah dari beberapa pemimpin dan organisasi AS termasuk Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Pakistan-Amerika yang memuji pencalonannya sebagai satu detik bersejarah. -MalaysiaGazette