Gambar ehsan Bomba Sabah

PAPAR – Tiga maut manakala empat lagi cedera parah selepas lori tunda jenis Nissan MK252 Vehicle Carrier yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Kimanis-Keningau di sini sekitar 10.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Papar, DSP Batholomew Umpit berkata, mangsa yang juga pemandu lori terbabit, bersama isteri dan seorang anak perempuannya meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara empat mangsa yang cedera parah terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki, juga anak kepada pasangan berkenaan telah dikejarkan ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Batholomew, siasatan awal mendapati lori tunda itu membawa sebuah van rosak dari arah Keningau menuju ke Kota Kinabalu dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan sebelum terbabas ke arah jalan bertentangan.

“Lori terbabit kemudian melanggar tebing bukit dan dipercayai brek lori tersebut gagal berfungsi dengan baik…akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu lori tersepit di bahagian hadapan manakala isteri dan anak perempuannya terhumban keluar daripada lori,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti identiti tujuh mangsa kemalangan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette