Gambar Hiasan. Foto FIKRI YAZID, 2 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai tetap akan membantah dan melawan sebarang rancangan untuk melombong elemen nadir bumi di Pos Lanai, Ulu Jelai, Pahang.

Pengerusinya, Jeffry Hassan berkata, penduduk di situ tidak akan berpindah dan akan terus kekal di situ.

Jelasnya, perlombongan tersebut akan memusnahkan sistem habitat serta tanah dan wilayah adat mereka kerana keluasan kajian yang dibuat membabitkan kawasan seluas  650 hektar.

“Ini merupakan projek yang terbesar untuk tujuan perlombongan setakat ini dan jika diluluskan ia adalah satu malapetaka untuk komuniti di sini,” katanya dalam sidang media yang dilakukan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Facebook hari ini.

Tambah Jeffry, projek itu juga akan memberi kesan negatif kepada lebih kurang 80 penduduk di situ.

“Kawasan ini merupakan tempat kami  bercucuk tanam, menoreh getah dan sebagainya. Ini sahajalah sumber yang kami ada untuk mencari pendapatan dan terus hidup.

“Jadi, jika ada tawaran dibuat pihak terbabit pun kami tetap tidak akan bersetuju dan menerimanya. Sebaliknya, kita tetap akan lawan.” tegasnya.

Sementara itu,  Setiausaha PSM,  Sivarajan Aramugam berkata, rancang melombong itu  bukan sahaja memberi kesan buruk yang berpanjangan terhadap alam sekitar, malah turut membahayakan penduduk.

Sertiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM)  Sivarajan Aramugam bercakap pada sidang media berkaitan orang Asli Senai Pos Lanai bantah aktiviti perlombongan nadir bumi, hutan simpan kekal Hulu Jelai di Brickfields, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 2 APRIL 2021.

“Penggunaan bahan kimia seperti ammonia yang mengandungi unsur nitrogen dan hidrogen yang terhasil menerusi pelombongan akan mencemarkan sungai.

“Sungai yang menjadi sumber bekalan air penduduk akan menjadi sungai maut dan tidak boleh digunakan langsung.

“Jika terus digunakan, penduduk boleh mendapat penyakit yang seperti mata berair, sakit kerongkong serta penyakit kulit, bahkan risiko tanah runtuh juga boleh berlaku,” ujarnya.

Dalam masa sama, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meena Raman juga berkata, pihak kerajaan tidak seharusnya menggunakan hutan simpan kekal untuk melakukan projek ini.

“Ia kerana hutan simpan kekal adalah seperti tulang belakang yang perlu dijaga sepenuhnya.

“Saya berharap badan bukan kerajaan (NGO) mengambil berat akan isu ini dengan tidak meluluskan projek tersebut.” tegasnya.

Penyelaras Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Dr K. Kalithasan turut sependapat bahawa pelombangan ini akan memberi kesan yang buruk kepada alam sekitar jika ia diteruskan.

Katanya, kawasan tersebut sudah jelas merupakan hutan simpan kekal, lantaran itu mengapa perlu meneruskan aktiviti perlombongan di situ.

“Kaedah yang digunakan juga adalah tidak sesuai di Malaysia di mana cuaca disini adalah berbeza dengan negara luar yang sudah pun melakukan aktiviti ini.

“Taburan hujan yang tidak sekata serta penggunaan bahan kimia ammonia akan menjurus pencemaran air bawah tanah sehingga mampu memberi impak yang besar terhadap sungai dan laut yang berdekatan.

“Bagi mereka sungailah tempat mencari sumber air dan makanan untuk meneruskan hidup,” ujarnya.

Untuk rekod, komuniti Orang Asli Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang telah menentang kebenaran yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan  Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk kajian perlombongan Lanthanide di kawasan tanah adat mereka.

Peyerahan surat bantahan telah diserahkan kepada pihak JAKOA untuk tindakan lanjut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast