SHAH ALAM – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 173,074 kilogram biji kopi dari Colombia bernilai RM3.23 juta kerana tidak mematuhi syarat import di Pelabuhan Klang Utara, pada Khamis lepas.

Pemangku Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hisham berkata, rampasan itu dibuat selepas menjalankan pemeriksaan rutin pada 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan tersebut, mendapati barang dagangan berkenaan ditahan kerana tidak mematuhi syarat import MAQIS sebagaimana yang dinyatakan permit, lesen dan perakuan.

“Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya MAQIS akan terus memperketatkan kawalan dan tiada kompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast