Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Binyu Lama, Bahagian Kuching, Sarawak mulai 4 hingga 17 April 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang tinggi semenjak 1 April lalu.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi apabila sehingga 1 April 2021 sebanyak 57 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Turut dikuatkuasakan PKPD, Kampung Binyu Baru, Bahagian Samarahan, Sarawak untuk tempoh yang sama, kata Ismail lagi.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan ujian saringan ke atas 11 orang di lokaliti ini dan daripada jumlah itu sebanyak empat kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat serta berkesan dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti,” tambahnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan seramai enam individu ditahan kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera/secara manual (3), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (2) dan tidak memakai pelitup muka (1),”katanya lagi. – MalaysiaGazette