KUALA LUMPUR – Permotoran Desmo Owners Club Malaysia (DOCM) menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian kepada ibu tunggal di sekitar Kuala Lumpur, semalam.
Sumbangan disampaikan Pengerusinya, Ainul Hasri Shah Abu Hassam dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.
Sumbangan itu merupakan kali kedua dianjurkan DOCM selepas membantu golongan asnaf dan ibu tunggal di Masjid Subang Perdana di Shah Alam.
Menurut Ainul Hasri, selepas ini kelab itu akan merantau seluruh Malaysia bagi memberi sumbangan terutama kepada golongan B40, asnaf dan ibu tunggal.
“Selepas ini kita ke Perak dan Johor pada 8 dan 9 April sebelum meneruskan perjalanan ke seluruh negeri di Malaysia.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi Permai Relief Fund untuk diagihkan kepada golongan B40, asnaf dan ibu tunggal yang disokong oleh Telekom Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Seorang penerima, Hajimah Saad, 70, yang sebelum ini bekerja sebagai tukang bersih pejabat, hilang mata pencarian selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari ketika balik daripada tempat kerja.
Menurutnya, bantuan yang diterima kini kurang berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, ditambah dengan kadangkala kelewatan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kalau ada bantuan waktu sekarang, makcik sangat bersyukur, lebih lagi sekarang ini dah dekat bulan Ramadan,” katanya selepas menerima sumbangan Dana Permai Relief Fund 2021 anjuran Kelab permotoran Desmo Owners.
Seramai 150 ibu tunggal menerima bantuan berbentuk beras, tepung gandum, telur dan bahan makanan kering. – MalaysiaGazette