KUALA LUMPUR – Bilangan kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia meningkat 26.5 peratus pada 2023 kepada 1,567 kes berbanding 1,239 kes pada 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kesalahan amang seksual secara fizikal pada 2023 merekodkan peningkatan ketara sebanyak 21.1 peratus iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada 2022.

Kesalahan amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak masing-masing merekodkan 91 kes dan 67 kes pada 2023.

Menurutnya, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan yang direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2023 meningkat 26.1 peratus kepada 8,536 kanak-kanak berbanding 6,770 orang pada tahun sebelumnya.

Bilangan kanak-kanak perempuan yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan sebanyak 5,418 orang berbanding kanak-kanak lelaki 3,118 .

Namun, kanak-kanak lelaki yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatatkan peningkatan lebih tinggi iaitu 26.4 peratus berbanding kanak-kanak perempuan (25.9%) dalam pada tempoh yang sama.

Melihat kepada aspek pendidikan, bilangan murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan pada 2023 meningkat 4.6 peratus daripada 4,962,900 murid (2022) kepada 5,192, 600 murid.

Manakala bilangan murid di sekolah swasta pada 2023 mencatatkan peningkatan 3.6 peratus kepada 442.9 ribu murid daripada 427.6 ribu murid pada 2022.

Tambah beliau, dari segi aspek tahap kesihatan kanak-kanak didapati keadaan tertentu disebabkan tempoh perinatal kekal menjadi sebab kematian utama (disahkan secara perubatan) bagi kanak-kanak kurang daripada 5 tahun pada 2023 dengan 36.4 peratus diikuti kongenital kecacatan, ubah bentuk dan keabnormalan kromosom (27.5%), pneumonia (2.6%), nahas pengangkutan (1.5%) dan meningitis (0.7%).

Dari segi aspek pengambilan pelalian, liputan bagi semua jenis pelalian kepada bayi semakin baik pada 2023.

Hepatitis B mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 10.6 mata peratus kepada 107.7 peratus berbanding 97.1 peratus pada 2022, diikuti oleh Polio, DTP dan HIB masing-masing meningkat sebanyak 10.5 mata peratus kepada 107.7 peratus berbanding 97.2 peratus pada 2022.

BCG merekodkan peningkatan terendah iaitu 1.0 mata peratus kepada 98.7 peratus (2023) berbanding 97.7 peratus (2022).

Mohd Uzir berkata, berdasarkan statistik anggaran penduduk 2024, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berjumlah 9.14 juta, iaitu 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia (34.06 juta).’

Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 18 tahun masing-masing 4.72 juta dan 4.42 juta.

Sementara itu, komposisi kanak-kanak di bawah umur 5 tahun pada 2024 ialah 2.36 juta atau 6.9 peratus daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia.

Daripada bilangan itu, jumlah kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 5 tahun masing-masing 1.22 juta dan 1.14 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast