Tertuduh, Vijay Palaniyappan dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Sepang bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen atas dakwaan membunuh dan membakar seorang jurutera tapak yang merupakan kenalan rapatnya dalam kejadian 28 Oktober lalu di Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kes bunuh teman rapat yang membabitkan Presiden Persatuan Artis-Artis India Malaysia, Vijay Palaniappan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Keputusan tersebut diputuskan Majistret Ayuni Nur Izzaty Sulaiman.

Vijay, 42, yang dikenali Vijay Emergency dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang dengan tangan bergari dan berpakaian lokap berwarna ungu pada pukul 9 pagi dari Penjara Sungai Buloh.

Timbalan Pendakwaraya, Nasharina Nazlan memberitahu mahkamah bahawa Peguam Negara telah bersetuju memindahkan kes berkenaan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Shah Alam Selangor dan salinannya telah diterima.

Tertuduh diwakili peguambela, Datuk Sheelan Arjunan.

Pada 10 November lalu, Vijay didakwa di Mahkamah Sepang atas dakwaan membunuh dan membakar seorang jurutera tapak yang merupakan kenalan rapatnya selama 25 tahun dalam kejadian di Sepang pada 28 Oktober lalu.

Tertuduh yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Vijay yang juga Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MIC Kebangsaan didakwa membunuh Seri Ganis Kanapathy Pillay Krishnan, 42, pukul 3.30 pagi di sebuah kawasan semak di Kota Warisan, berhampiran stesen ERL Ekspress. – MalaysiaGazette