Jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh.

KUALA LUMPUR – Hanya satu kemenangan dengan kedudukan di tangga kedua terakhir Liga Super meletakkan pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh dalam keadaan yang cukup sukar bagi menaikkan semula moral para pemain bagi menghadapi Terengganu FC, di Stadium Darul Makmur malam ini.

Dollah mengakui situasi musim ini paling mencabar sepanjang bersama Sri Pahang namun beliau enggan pemain-pemainnya mengibarkan bendera putih sebelum berjuang.

Kini di fikiran Dollah hanya satu iaitu tidak mahu sejarah 10 tahun lalu kembali berulang apabila tersingkir ke saingan Liga Premier dan beliau akan membuat apa sahaja demi memastikan Sri Pahang akan kekal di saingan Liga Super.

“Kalau tengok pada pasukan, memang sebelum saya ambil pun sudah nampak dalam keadaan bermasalah dan sekarang dalam fikiran saya hanya tidak mahu pasukan ini jatuh ke Liga Premier, itu sahaja sasaran paling realistik yang saya rasa sesuai buat pasukan dalam masa ini.

“Pemain utama dalam pasukan ini hampir 70 ke 80 peratus telah keluar dan situasi itu sememangnya cukup sukar memandangkan pemain-pemain utama yang kita ada sekarang bukanlah terdiri daripada mereka yang selalu bermain dalam Liga Super.

“Selepas itu, pemain import selain Lee Tuck juga tidak banyak membantu yang meletakkan pasukan ini bertambah parah serta sukar bagi cabaran kepada pencabar lain.

“Bagaimanapun saya tidak mahu menjadikan itu sebagai satu alasan, kita kena berjuang apa jadi sekali pun dan saya selalu berpesan kepada pemain untuk sentiasa menunjukkan karekter untuk menang biarpun perbandingan Sri Pahang dengan pasukan lain agak jauh.

“Jangan tunjukkan yang kita lemah dan sudah berputus asa sebelum masuk padang, perkara itu hanya akan membuatkan lawan lagi berasa yakin untuk tewaskan pasukan, “ katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia.

Kemenangan tunggal Sri Pahang setakat ini ialah semasa menewaskan Sabah FC, 2-1 di laman sendiri pada perlawanan keempat Liga Super selain satu lagi mata ketika mengikat Melaka United 0-0 di Stadium Hang Jebat selain tumbang dalam empat perlawanan lain.

Gandingan dua penyerang import, Pedro Henrique Oliveira dan Yevhen Bokhashvili dilihat kurang menyengat dengan mereka berdua setakat ini hanya mampu menyumbang satu daripada empat jaringan yang dihasilkan Sri Pahang.

Selain itu, Sri Pahang merupakan pasukan kedua yang menghasilkan gol paling rendah dalam saingan Liga Super musim ini selain rekod pertahanan yang paling mudah dibolosi iaitu 10 gol bersama UiTM FC.

Dalam pada itu, Dollah menjelaskan beliau sedang mempertimbangkan untuk menggunakan semua pemain tempatan menjelang aksi dengan Terengganu FC tetapi belum melakukan keputusan muktamad.

“Goulon tidak boleh diturunkan kerana mendapat kad merah semasa pertemuan dengan Kedah manakala yang lain saya belum buat keputusan muktamad lagi cuma saya rasa mahu menggunakan semua pemain tempatan kali ini.

“Saya mahu berikan peluang kepada pemain tempatan dan lihat apa hasilnya, bagaimanapun tengok dahulu sehingga hari esok sebelum saya senaraikan kesebelasan utama, ” katanya.

Antara perlawanan Liga Super lain yang turut berlangsung esok membabitkan Sabah FC bertemu JDT di Stadium Likas, Selangor FC melayani kunjungan Kedah FC manakala Melaka United FC menentang Penang FC di Stadium Hang Jebat.

Manakala dua perlawanan yang berlangsung pada Rabu ialah Perak FC berdepan UiTM FC di Stadium Perak, Ipoh dan PJ City yang bakal menerima tentangan Kuala Lumpur City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. – MalaysiaGazette