Shahilmi (kiri) melihat pangkat sarjan yang diterima dia dan rakannya, Simon Pasang susulan penahanan ahli sindiket dadah antarabangsa pada 25 Februari lalu.

JAWI –  Dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dianugerahkan pangkat Sarjan susulan penahanan seorang lelaki yang membawa kepada pembongkaran sindiket dadah antarabangsa pada 25 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kenaikan pangkat Koperal Simon Pasang Anak Kana dan Koperal Muhamad Shahilmi Shahadan itu dilakukan sebagai penghargaan kepada mereka yang telus dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pasukan beruniform.

Katanya, ia akan menjadi pemangkin kepada anggota-anggota lain untuk menggalas amanah dengan lebih baik dan meningkatkan integriti dalam membanteras kegiatan jenayah dalam negara.

“Selaku ketua dalam JPJKK, saya harap kenaikan pangkat ini menjadi batu loncatan untuk mereka (anggota) terus menjalankan tugas dengan lebih berdedikasi.

“Masing-masing mereka akan ditempatkan di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara sebagai penolong pegawai penyiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebaik selesai majlis pemakaian pangkat kepada dua anggota berkenaan di Bukit Jawi Golf Resort di sini hari ini.

Sementara itu, Muhamad Shahilmi,30, berkata, kenaikan pangkat itu menjadi pemangkin untuk terus berusaha menjalankan tugas dengan lebih baik dan amanah.

Zainal melakukan pemakaian pangkat kepada Muhamad Shahilmi sambil diperhatikan Sahabudin.

“Memang terkejut bila tahu saya bakal dinaikkan (pangkat) sebab saya daripada pangkat bawah terus naik ke sarjan. Namun saya tetap bersyukur dan anggap ini rezeki untuk anak serta isteri.

“Kenaikan pangkat sebegini membuatkan kami terutamanya anggota berpangkat rendah lebih bersemangat dan yang penting niat kerja untuk menjaga dan menaikkan nama serta integriti PDRM,” katanya.

Bagi Simon Pasang,33, penghargaan tersebut sesuatu bermakna buat dirinya yang sudah berkhidmat selama 10 tahun dalam pasukan beruniform itu.

Zainal melakukan pemakaian pangkat kepada Muhamad Simon Pasang sambil diperhatikan Sahabudin

“Saya tak sangka akan sampai ke tahap ini sebab kalau nak naik pangkat sarjan ini mungkin saya kena tunggu 10 hingga 15 tahun lagi.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM atas kepercayaan yang diberikan,” kata Simon Pasang.

MalaysiaGazette pada 1 Mac lalu melaporkan dua anggota URB Pulau Pinang berjaya menahan seorang lelaki Indonesia yang terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dan merampas 623.7 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM22 juta.

Kegiatan suspek itu dibongkar ketika anggota berkenaan melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan kondominium di Jalan Kebun Nanas, Bukit Mertajam.

Suspek ditahan ketika sedang memunggah dadah dari lori ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) kira-kira jam 2 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast