Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,139 kes positif baharu Covid-19 direkodkan menjadikan keseluruhan kes jangkitan akibat wabak itu mencecah 354,468 kes di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak mencatatkan bilangan kes harian tertinggi iaitu 332 kes diikuti Selangor dengan 294 kes dan Johor pula sebanyak 102 kes.

Beliau berkata, tiada kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di Putrajaya dan Perlis hari ini.

“Ketika ini Selangor masih lagi mencatatkan jumlah kes jangkitan paling tinggi sejak awal penularan Covid-19 di negara ini iaitu sebanyak 118,328 kes, disusuli Sabah (55,294); Johor (41,956) dan Kuala Lumpur dengan 38,408 kes di mana kes aktif pula adalah sebanyak 14,097 kes

“Sebanyak 1,126 daripada 1,139 kes yang dilaporkan membabitkan jangkitan tempatan iaitu 1,001 terdiri daripada rakyat negara ini dan 125 warga asing manakala tujuh daripada 13 kes import adalah rakyat tempatan dan enam lagi warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, seramai 194 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 86 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jelas beliau, sebanyak empat kematian baharu membabitkan rakyat tempatan dicatatkan yang menjadikan jumlah kumulatif kematian berkaitan di negara ini sebanyak 1,304 kes atau 0.37 daripada kes yang direkodkan.

“Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 1,199 kes pulih, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 339,067 kes atau 95.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes direkodkan di negara ini,

“Pada masa sama, sebanyak 10 kluster dilaporkan hari ini membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette