Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berucap ketika hadir ke himpunan bantahan peneroka Ladang Tanjung Pasir mengenai isu tanah yang sekian lama diteroka telah diberikan oleh kerajaan Selangor kepada dua syarikat yang berbeza tetapi pemilik yang sama ketika di Kampung Seri Makmur Bestari Jaya, Tanjung Karang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2021.

BESTARI JAYA – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar menyatakan komitmennya untuk memperjuangkan nasib rakyat Selangor yang tertindas.

Beliau sanggup ‘keluar’ dari kawasannya sendiri untuk membantu rakyat di kawasan lain yang teraniaya dan dizalimi apatah lagi melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun kawasan ini Selangor, saya pula timbalan menteri Wilayah Persekutuan tetapi apabila berlaku ketidakadilan dan kezaliman maka tanggungjawab mana-mana ahli Parlimen, kalau terpaksa saya datang dari Segamat ke sini untuk memperjuangkan, saya datang juga,” katanya semasa menemui generasi ketiga peneroka Ladang Tennamaram di sini hari ini.

Pada 31 Disember tahun lepas, MalaysiaGazette melaporkan 400 peneroka Ladang Tennamaram bakal diusir selepas kerajaan negeri memajakkan tanah terbabit kepada syarikat luar selama 21 tahun.

Difahamkan pajakan itu diberikan kepada dua syarikat yang dipercayai milik individu dari Sarawak yang didakwa baru sahaja dua bulan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi sudah mendapat kepercayaan diberikan pajakan oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu Santhara juga melahirkan rasa hairan apabila kerajaan negeri boleh menganugerahkan tanah rizab seluas 1,942 hektar secara pajakan 21 tahun kepada syarikat yang baru setahun jagung.

“Kita nampak ada sesuatu yang tidak kena kerana perkara itu saya telah berbincang dengan pegawai saya sendiri di mana ayahnya juga memiliki tanah di sini.

“Saya mengikuti perkembangan kes ini dan pada 19 November 2019 saya meminta peneroka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Santhara juga sedia bekerjasama dengan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bagi memastikan kes terbabit disiasat dengan segera.

“Saya bersetuju dengan Tan Sri bahawa saya akan bekerjasama dengan Tan Sri kita akan hubungi SPRM dan cuba untuk mendapatkan apakah status kerana ini melibatkan masalah rakyat.

“Ini masalah B40, masalah orang susah, orang yang tiada tanah lain di tempat lain, ini saja mata pencarian mereka yang harus dibantu oleh kerajaan,” katanya.

“Saya akan pastikan semua perkara ini dibuat mengikut peraturan dan jika tidak tindakan harus diambil dan keadilan harus dilakukan.

“Keadilan tidak boleh jadi slogan tapi mesti adil kepada semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dia ni kah yg special boleh rentas negara duk New Zealand cuti sampai berbulan2 tu?? best kaaannnn..

Comments are closed.