JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki pengangkut gas petroleum cair (LPG) di kedudukan 14.9 batu nautika timur laut Tanjung Balau, Johor kira-kira jam 9.15 malam, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal LPG yang berdaftar di Liberia itu ditahan sebuah kapal ronda Maritim Malaysia dalam operasi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur.
“Kapal LPG itu dikendalikan oleh 21 kru berusia antara 20 hingga 65 tahun yang kesemuanya warga asing iaitu sembilan warga Filipina, empat warga Ukraine, tiga warga Rusia, dua warga Croatia, serta seorang masing-masing warga Jerman, Latvia dan Georgia.
“Dua kru kapal telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, Maritim Malaysia serius dan akan terus mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran ini.
Maritim Malaysia juga menasihatkan kepada semua agen-agen kapal dan juga komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Sebarang jenayah dan kecemasan di perairan Johor, katanya, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404) atau talian
kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette