Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin menyampaikan ucapan sempena Majlis Penganjuran Bazar Ramadhan dan Aidilfitri 2021 kepada peniaga bazar di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN –  Sistem pembayaran tanpa tunai bakal dipraktikkan oleh 1, 008 peniaga di 30 tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, kaedah tersebut bakal dilaksanakan pada 13 April ini sebagai alternatif untuk memudahkan pengguna terutama pada musim pandemik Covid-19.

Menurutnya, sistem tanpa tunai itu akan diperluaskan secara berperingkat dan pihak MBK sudah membuat rundingan kerjasama dengan beberapa buah bank tempatan.

“Kita yakin kaedah ini sudah dipraktikkan dalam kehidupan norma baharu memandangkan sudah setahun berdepan dengan wabak Covid-19.

“Pada peringkat permulaan, kita sekadar galakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai di kalangan peniaga dan pengguna.

“Sebanyak 30 tapak penjualan dibuka membabitkan 26 lokasi penganjuran bagi bazar Ramadan dan empat lokasi bazar Aidilfitri di Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Permit Penganjuran Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri tahun 2021 di Lobi Kompleks MBK hari ini.

Sementara itu, MBK juga tidak mengenakan sebarang kenaikan kadar permit perniagaan kepada peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini, katanya.

“Kadar harga permit masih kekal iaitu RM180.50 bagi jualan makanan dan minuman, RM280.50 permit bagi jualan air tebu dan kelapa manakala RM300 untuk jualan pelbagai,” kata Hamdan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast