KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai Jabatan Imigresen merupakan individu yang menggerakkan sindiket pengeluaran Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dibongkar semalam.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, individu itu antara lima yang ditahan pihaknya dan sudah direman untuk membantu siasatan.
“Lima tangkapan telah dibuat melibatkan orang awam dan ketua sindiket yang bergelar datuk berusia 33 hingga 43 tahun di Kuala Lumpur dan Sungai Petani.
“Dalam siasatan kami mereka menggunakan router untuk menggodam ID sistem pegawai imigresen dan mencetak PLKS ini diluar daripada Jabatan Imigresen.
“Dalam sindiket ini juga adalah bekas kakitangan Jabatan Imigresen yang telah berhenti kerja dan mereka yang disyaki memberi jalan bagaimana sindiket ini dilakukan.
“Mereka yang ditahan ini telah direman mulai hari ini selama enam hari,” kata Azam dalam sidang media di pejabat SPRM di ibu negara, hari ini.
Semalam SPRM dan Jabatan Imigresen berjaya mematahkan sindiket pengeluaran Pas PLKS palsu menerusi operasi besar-besaran.
Operasi itu turut merungkai kegiatan sindiket yang menyebabkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.
Semua individu berkenaan ditahan dalam operasi di 22 lokasi sekitar Kuala Lumpur.
Operasi itu dibuat berpandukan kepada siasatan dalaman mulai tahun lalu.
Berdasarkan serbuan itu, SPRM mendapati 147 akaun melibatkan 30 individu dan 11 syarikat telah dibekukan dengan jumlah rampasan RM9.9 juta.
“Jumlah ini akan bertambah sekiranya apabila pihak bank selesai mentafsir baki akhir selepas proses pembekuan dibuat,” kata Azam lagi.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud percaya sindiket ini turut dijalankan orang dalam agensi berkenaan.
“Setakat ini masih belum ada pegawai imigresen yang ditahan. Tetapi saya percaya ada penglibatan pihak dalaman dan bergantung kepada siasatan SPRM.
“Sekiranya ada tangkapan di kalangan pegawai imigresen sendiri, tidak ada kompromi daripada pihak jabatan. Kerjasama sepenuhnya untuk mencari di mana pegawai-pegawai ini berada akan diberikan kepada pihak SPRM,” katanya dalam sidang media sama.
Dalam operasi itu wang tunai sebanyak RM491,110 dan lain-lain mata wang, 12 buah kenderaan mewah bernilai lebih RM300,000 sebuah, dan 34 unit jam tangan mewah pelbagai jenama dirampas.
Jumlah sitaan bagi kes ini berjumlah RM25.5 juta. – MalaysiaGazette