Gambar hiasan

KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan mencabul dan mendera empat kanak-kanak di sebuah pusat kebajikan, tempat isterinya bekerja dekat sini, antara April 2019 hingga Mac lepas.

Mohd Hamdan Yasin, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, dia didakwa melakukan kesalahan dengan maksud seksual menyentuh tiga kanak-kanak perempuan berusia sembilan hingga 13 tahun di pusat kebajikan tersebut, pada waktu berbeza.

Antaranya, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang kini berusia 13 tahun di sebuah bilik dan ruang tamu di pusat kebajikan itu, masing-masing dalam kejadian pada Julai 2019 dan September tahun lepas.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh disebat, jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kelima pula, dia didakwa bersama-sama isterinya yang merupakan penjaga pusat kebajikan itu, Nor Adila Zakaria, 35, telah menganiaya kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun hingga mengalami kecederaan fizikal di pipi dan dada.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mereka dituduh menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar  manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri.

Mahkamah menetapkan tiada jaminan ditawarkan kepada Mohd Hamdan manakala Nor Adila dibenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Hakim menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh. – Bernama