Chris Bush. Foto Ihsan Giant.

PETALING JAYA – Selepas 77 tahun beroperasi di negara ini, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Dairy Farm International memperkenalkan wajah baharu pasar raya besar Giant dengan memperuntukkan pelaburan sebanyak RM25 juta.

Ia melibat penjenamaan semula semua 57 cawangan Giant seluruh negara termasuk menukar logo baharu dan penampilan baharu kakitangannya serta pembukaan 10 Giant Mini.

Pembaharuan juga melibatkan pelancaran lebih 2,000 produk baharu, produk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), zon ringgit, bahagian produk sedia dimakan selain stor Guardian di Giant terpilih.

Pada masa sama, Giant turut memperkenalkan segmen barangan berharga serendah RM3 untuk semua kategori produk yang dipasarkan.

Pengarah Urusan Giant Malaysia, Chris Bush (tengah) bergambar bersama pekerja memperkenalkan jenama barangan baharu yang dipasarkan oleh Giant ketika temubual oleh media di Pasaraya Giant, Kota Damansara. Foto SHAFIY ZUL, 07 APRIL 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Makanan Asia Tenggara Dairy Farm, Chris Bush berkata, walaupun sedang berlaku pandemik Covid-19, pihaknya berpendapat ia waktu yang sesuaiĀ untuk kekal menjadi peneraju pembekal makanan di Malaysia.

“Kami menawarkan ratusan produk baharu di bahagian makanan segar dengan memastikan kualiti yang tinggi, spesifikasi baharu serta pendekatan sumber baharu dalam usaha membawa pelanggan kepada pengalaman membeli-belah yang mengujakan.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran wajah baharu Giant, di Giant Kota Damansara, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah GCH Retail Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Pengerusi Jardines Matheson Country, Rossana Annizah.

Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar (tiga dari kanan) dan Chris Bush (dua dari kanan) pada majlis pelancaran penjenamaan semula Giant di Kota Damansara di sini hari ini. Foto Ihsan Giant.

Mengulas mengenai Giant Mini, Bush menambah, ia sebagai pengembangan operasi di premis yang bersaiz antara 800 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi tidak lama lagi dengan menawarkan produk-produk terpilih.

Jelas beliau, pembukaan cawangan ini akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk memasarkan produk mereka.

“Seiring dengan pengembangan operasi Giant Mini di negara ini, kami mahu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini, sekali gus membantu melonjakkan semula ekonomi negara selepas era pasca Covid-19,” katanya.

Pekerja menunjukkan bahan masakkan yang baharu ketika sehari sebelum pelancaran logo terkini Giant di Pasaraya Giant, Kota Damansara. Foto SHAFIY ZUL, 07 APRIL 2021.

Bush turut memberitahu, pihaknya akan memperkenalkan kira-kira 300 produk baharu di bawah jenama Meadows dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan akan datang,

Tambahnya lagi, bagi segmen barangan segar, Giant kini mendapatkan produk secara terus daripada peladang tanpa menggunakan orang tengah bagi menjamin kesegaran produk serta harga mampu milik

“Pelanggan juga kini boleh mendapatkan produk makanan dari pelbagai negara seluruh dunia, di mana kami menyediakan ruangan khas untuk produk terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette