Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat kerajaan tidak perlu mewajibkan ‘cuti vaksin’ untuk pekerja.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kerajaan bagaimanapun boleh membenarkan majikan melakukan pendaftaran bagi pihak semua pekerja.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pendaftaran yang banyak, seseorang majikan boleh mengaturkan suntikan beramai-ramai di kilang atau syarikat, sekali gus mengurangkan pergerakan dan menjimatkan masa.

Menurutnya, dalam usaha memulihkan ekonomi negara, kerajaan harus memikirkan strategi vaksinasi yang tidak menjejaskan produktiviti.

Shamsuddin berkata demikian sebagai mengulas cadangan supaya pekerja diberikan cuti khas untuk membolehkan mereka menerima suntikan vaksin.

Mengulas isu yang sama, Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, kerajaan tidak perlu mewajibkan cuti kerana majikan memang bersedia memberi kerjasama dalam soal vaksinasi.

Menurutnya, majikan boleh memberi kebenaran cuti atau mengizinkan pekerja keluar sebentar kerana sistem temujanji dapat memastikan pekerja menerima suntikan tanpa perlu menunggu atau berbaris secara lama.
“Ini merupakan tanggungjawab korporat dan semua syarikat memang bersedia membantu kerajaan untuk memastikan setiap pekerja menerima perlindungan vaksin.

“Ini merupakan perkara yang baik dan kami tiada sebab untuk menolak,” katanya. – MalaysiaGazette