Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique (empat dari kiri) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perpaduan Negara dengan Universiti Sains Malaysia.

GEORGE TOWN – Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengingatkan ahli politik agar tidak mengaitkan isu agama atau bangsa dalam agenda mereka hingga mampu menimbulkan prasangka dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak mahu ahli politik di negara menjadi punca kepada pecah-belah masyarakat hanya untuk kepentingan politik mereka.

“Ahli politik, kalau ada agenda atau ‘cita-cita besar’ jangan kaitnya dengan perkara yang boleh menyebabkan ganggu proses perpaduan.

“Kita sudah lama merdeka, sepatutnya sudah tiada perkara berkaitan yang boleh menjejaskan atau mengganggu perpaduan sedia ada,” katanya kepada pemberita di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Mengulas lanjut Halimah berkata, tidak ada keperlua mewujudkan akta baharu dalam menangani isu berkenaan di media sosial.

“Akta sedia ada atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah memadai setakat ini,” ujar beliau.

Halimah Mohamed Saddique berucap ketika hadir di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perpaduan Negara dengan USM di sini hari ini

Terdahulu Halimah ditemui di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perpaduan Negara dengan USM yang dimetrai menerusi dua memorandum iaitu bagi membangunkan Pelan Pemerkasaan Rakyat dan membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Masyarakat India.

Hadir sama bagi mendatangani MoU berkenaan ialah Naib Canselor USM Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM Prof Dr
Azlinda Azman yang mewakili universiti manakala KPN pula diwakili Ketua Setiausaha KPN Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Timbalan Ketua Setiausaha KPN Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.

Antara program yang dianjurkan SRN USM ialah Lingkaran Muhibbah Orang Asli, Program Eksplorasi Sukan Rakyat dan Perkampungan Sinar Perpaduan bagi memperkukuhkan intergrasi nasional dalam kalangan mahasiswa.

Sementara itu, Faisal Rafiq berkata, kerjasama berkenaan menjadi projek rintis pembangunan indeks etnisiti USM bagi memperkasakan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

“Sekretariat Rukun Negara di USM juga menjadi platform kepada mahasiswa bagi menerapkan pemahaman dan perpaduan menerusi program yang dianjurkan.

“Selain itu, ia juga mendokong tiga aspirasi utama perpaduan negara iaitu membina rakyat yang patriotik dan demokratik, membentuk identiti nasional dan memperkukuh ekosistem perpaduan,” kata Faisal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast