Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) menagawasi keselamatan dan pematuhan SOP di pos kawalan utama di Taman Mentiga Jaya, Pekan.

KUANTAN – Percubaan seorang remaja meloloskan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) dengan melompat melepasi halangan dan kawat berduri membawa padah apabila dikompaun sebanyak RM3,000.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, kompaun dikenakan di bawah  Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No.3) 2021.

Menurut Razli, tindakan remaja itu mengingkari PKPD di Taman Mentiga Jaya dihidu pihak berkuasa semasa rondaan dilakukan anggota polis dan pasukan Pemantau Team Alpha Covid-19 pada jam 8.40 malam tadi.

“Remaja itu didapati telah melompat keluar dari halangan barrier dan kawat berduri yang telah dipasang di kawasan PKPD Taman Mentiga Jaya menuju ke perumahan Dato Shahbandar Pekan.

“Remaja berusia 18 tahun itu telah melakukan pelanggaran perintah PKPD dan kompaun RM3,000 telah dikeluarkan terhadapnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, Mohd Razli menasihatkan kesemua 12,000 penduduk di kawasan PKPD sekitar Pekan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Seramai 125 anggota bertugas  secara bergilir di dua pos kawalan utama melibatkan empat agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) bagi mengawasi keselamatan dan pematuhan SOP.

Terdahulu, lima lokasi di Pekan yang terlibat PKPD bermula 9 April hingga 22 April membabitkan perumahan Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Perkampungan Peramu Jaya 3, Taman Sepekan Makmur,  dan Kampung Pulau Serai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara tersebut pada 8 April lalu, selepas meneliti kelima-lima lokaliti itu merupakan kawasan tempat tinggal pekerja kilang yang melibatkan Kluster Teknologi Peramu Jaya. – MalaysiaGazette