ADUN Pitas, Datuk Seri Dr Ruddy Awah (tiga dari kiri) sedang mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini pembinaan menara telekomunikasi baharu Kampung Mengkapon, Pitas daripada penyedia perkhidmatan yang dilantik. Hadir sama ialah Pengarah MCMC Wilayah Sabah, Izani Othman (baju berwarna biru tua dan bertopi putih).

KUALA LUMPUR – Para penduduk di Kampung Mengkapon, Pitas bakal menikmati jaringan telekomunikasi yang lebih baik Ogos depan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, sebanyak 50 menara telekomunikasi baharu sedang didirikan di Sabah.

Daripada jumlah tersebut, 13 menara baharu terletak di daerah Pitas, yang mana Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan menara berkenaan.

SKMM berkata, pembinaan menara berkenaan yang dilaksanakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu akan memanfaatkan penduduk di Pitas, sekali gus mentransformasikan kehidupan penduduk setempat dalam mengharungi era digital yang semakin pesat.

Dengan kesalinghubungan Internet yang lebih baik, taraf hidup penduduk setempat dijangka melonjakkan, selain memudahkan penduduk untuk melaksanakan pelbagai urusan harian dan mempelbagaikan sumber pendapatan mereka.  – MalaysiaGazette