Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bergambar bersama atlet Negara selepas selesai menerima suntikan vaksin ketika hadir ke Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL, Taman Desa Tasik, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 264 atlet termasuk jurulatih dan pegawai selesai menerima dos pertama vaksin PfizerBioNTech pada hari ini.

Mereka itu termasuk  35 atlet paralimpik dan jurulatih, bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merica.

Para atlet bersama jurulatih dan pegawai mengikut lapangan sukan masing-masing mula hadir dan mengambil vaksinasi sejak 8 pagi lagi diikuti Presiden Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Noor Azman Taib dan Ketua pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara,Datuk Wasitah Mohd Yusof secara berperingkat.

Reezal tiba ke Kompleks Sukan DBKL Taman Desa Tasik, Sungai Besi yang dijadikan pusat vaksinasi sekitar jam 10.15 sebelum mengambil vaksin pada jam 10.29 pagi.

Kesemua atlet yang menerima vaksin bersama pegawai dan jurulatih akan terlibat dalam temasya sukan berprestij dan terbesar dunia iaitu Olimpik yang akan berlangsung di Tokyo Ogos ini.

“Umumnya saya dapat melihat semua yang menerima dos pertama Pfizer dalam keadaan cukup teruja tanpa sebarang panik.

“Semangat memastikan diri terlindung daripada jangkitan menambah iltizam mereka untuk fokus dan bertarung dalam kejohanan Olimpik di Tokyo nanti,” katanya dalam sidang media selepas mengambil vaksin PfizerBioNtech pagi tadi.

Reaksi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semasa menerima suntikan vaksin ketika hadir ke Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Kementerian Belia dan Sukan di Kompleks Sukan DBKL, Taman Desa Tasik, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2021.

Antara altlet yang kelihatan tampil mengambil dos pertama vaksin adalah ratu terjun terunggul dunia Pandalela Renong, Noor Dabitah Sabri, ratu Gimnastik Negara Farah Ann, Atlet Karate, atlet pecut paralimpik T36 negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan jaguh lontar peluru paralimpik negara, Jurulatih Badminton Paralimpik Negara Datuk Rashid Sidek dan lain-lain.

Tambah Reezal, terdapat dua atlet negara masih berlatih dan terlibat dalam kejohanan di luar negara yang masih belum pulang untuk mengambil vaksin iaitu jaguh basikal Azizulhasni Awang atau The Pocket Rocketman dan Shan Firdaus.

“Mereka dijangka pulang ke tanahair dari Australia pada akhir Mei ini dan akan divaksinkan pada masa itu juga.

“Namun kita sedang mengusahakan mungkin kedua-dua atlet itu divaksin di Melbourne, Australia namun seandainya mereka tak divaksin di sana, maka akan divaksin sejurus selepas pulang.

“Apa yang penting sebelum berakhirnya bulan Jun nanti, kami akan memastikan semua atlet sudah diberi vaksinasi kedua-dua dos, itulah misi KBS,” tegas beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast