Khai Bahar.

KUALA LUMPUR – “Usia muda dan tubuh badan yang kuat bukan jaminan untuk kita mampu hidup sehingga mencapai usia tua. Yang pasti selagi bergelar makhluk Allah SWT, kita pasti akan mati namun tidak tahu bila waktunya dan bagaimana kematian itu nanti.”

Bagi penyanyi Khai Bahar, 27, sebagai anak seni dia mahu mengajak masyarakat mengingati kematian menerusi lagu yang disampaikannya.

Justeru, lagu bonus dalam album fizikal terbaharunnya Damba Ketenangan yang berjudul Perpisahan adalah lagu ketuhanan tentang kematian.

“Kenapa perpisahan? Sebab saya hendak kita semua sentiasa ingat kepada kematian. Bukan sahaja saya yang menyanyikan lagu ini tetapi semua tanpa mengira usia, pangkat, darjat, kedudukan atau status.

“Saya fikir sebagai manusia biasa pengakhiran kita tetap sama iaitu kematian. Cuma bila dan bagaimana hanya Allah saja yang tahu. Disebabkan itu dalam lagu ini ia memberi peringatan kepada kita. Dalam masa yang sama lagu ini sesuai untuk bulan Ramadan,” katanya.

Penyanyi, Khai Bahar menunjukkan album terbarunya iaitu zikir damba ketenangan serta beberapa kandungan yang datang bersamanya di Hotel Pearl, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 12 APRIL 2021.

Dia berkata demikian pada majlis pelancaran album Damba Ketenangan di Hotel Pearl International di sini semalam.

Album fizikal itu memuatkan lima zikir serta satu lagu yang bertajuk Perpisahan, ciptaan sepenuhnya oleh Rudy Nastia, Shamin Nazri dan Adi Pawana (Dr Azrul).

Lima zikir yang dimuatkan adalah, Hasbi Rabbi Wa Nabiy, Astaghfirullah, Hasbunallah, La Ilaha Illallah dan Ya Zal Jalali Wal Ikram.

Mengulas lanjut, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, album kolaborasi Dr Azrul telah lama dirancang untuk dipasarkan pada bulan Ramadan tahun ini dan ia dapat direalisasikan.

Penyanyi, Khai Bahar menyempurnakan gimik pelancaran pada sidang media album zikir damba ketenangan di Hotel Pearl, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 12 APRIL 2021.

Berkongsi mengenai cabaran mengalunkan zikir dalam album itu, jejaka kelahiran Perlis itu perlu berhati-hati dalam setiap sebutan.

“Cabarannya adalah saya ada masalah hendak sebut dengan makhraj yang betul. Ini kerana salah sebut nanti jadi lain pula maksudnya dan sebab tu kena berhati-hati.

“Alhamdulillah, saya banyak dibantu oleh Dr azrul sepanjang proses rakaman. dia memantau sebutan saya.

“Sebelum ini saya menyanyi lagu Melayu dan tidak ada masalah tapi apabila membabitkan sebutan Arab, saya perlu ambil masa juga hendak rakam kerana tanda bacaan kena betul,” ujarnya berterus-terang.

Penyanyi, Khai Bahar menyempurnakan gimik pelancaran pada sidang media album zikir damba ketenangan di Hotel Pearl, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 12 APRIL 2021.

Sementara itu, album yang diterbitkan oleh 17 Eleven ini telah pun habis dijual sebanyak 500 unit dalam masa tiga hari.

“Sebelum dilancarkan secara rasmi, syarikat penerbitan buka pra tempahan dulu pada hari pertama sebanyak 100 unit dan habis terjual. Hari kedua juga sama dan hari ketiga mereka tambah lagi 200 unit pula dan turut habis dijual,” kata Khai.

Album zikir Damba Ketenangan itu ini boleh dibeli melalui Shopee. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Baca dan fahami Surah Al-Mulk setiap malam sebagai pelindung azab kubur nanti menurut hadith sahih, in sha Allah.

Comments are closed.