KPDNHEP Cawangan Timur Laut menyita 1.9 tan tepung gandum yang disimpan tanpa permit yang sah.

BALIK PULAU – Padah memiliki barang kawalan melebihi had dibenarkan, sebuah premis pembuatan makanan di Teluk Kumbar, di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Timur Laut semalam.

Pemeriksaan dan naziran oleh sepasukan pegawai dan anggota KPDNHEP Timur Laut di premis berkenaan pada jam 4.30 petang membawa kepada penemuan 1.9 tan tepung gandum yang disimpan tanpa permit barang kawalan berjadual.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, hasil pemeriksaan mendapati peniaga tersebut memiliki tepung gandum sebanyak 1,900 kilogram untuk membuat produk makanan.

Pegawai KPDNHEP Cawangan Timur Laut melakukan pemeriksaan di sebuah premis pembuatan makanan di Teluk Kumbar di sini semalam.

“Peniaga telah diminta untuk mengemukakan permit menyimpan barang kawalan berjadual atau kebenaran bertulis dari KPDNHEP namun gagal berbuat demikian.

“Susulan itu kita menyita tepung gandum yang dianggarkan bernilai RM4,637,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Tambah beliau, KPDNHEP memandang serius pelanggaran kelulusan lesen dan permit barangan kawalan oleh pemilik perniagaan yang mengakibatkan kerugian kepada kerajaan serta rakyat.

Dalam perkembangan sama KPDNHEP juga menyeru peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual memastikan mereka mempunyai lesen atau permit kebenaran yang dikeluarkan oleh KPDNHEP bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast