KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) digesa membuka peluang penglibatan perunding dan kontraktor Bumiputera dari 30 peratus kepada 80 peratus dalam projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang.
Ahli Dewan Negara, Senator Idris Ahmad berkata, ini kerana golongan profesional tempatan mempunyai cukup pengalaman dan kelayakan untuk melaksanakan projek MRT3 setelah terlibat dengan projek-projek besar sebelum ini seperti MRT, LRT dan keretapi.
“Langkah ini dapat mengurangkan kos projek, perunding tempatan juga pastinya akan lebih memahami keadaan geotechnical, kesan cuaca dan sosial budaya tempatan.
“Ia bagi menepati kehendak reka bentuk yang sesuai bagi tujuan kegunaan, operasi dan penyelenggaraan MRT3,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Idris yang juga Naib Presiden Pas memuji tindakan proaktif Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong meneruskan projek MRT3 di Lembah Klang setelah tiga bulan melaksanakan kajian menyeluruh membabitkan jajaran dan aspek kewangan.
“Saya menyokong penuh inisiatif tersebut kerana ia sudah pasti akan memberi banyak manfaat kepada semua rakyat, khususnya penduduk di Lembah Klang.
“Selain itu, projek ini juga bakal mengurangkan kesesakan jalan raya dan menyediakan sistem pengangkutan yang efisien,” katanya.
Dalam pada itu, Idris menggesa agar MOT memberikan keutamaan kepada penggunaan produk tempatan yang setanding dengan produk luar negara di bawah pantauan ketat MRT Corp dalam melaksanakan projek ini.
“Ia bertujuan supaya perkembangan teknologi di dalam negara sentiasa bertambah baik, malah ia bagi memastikan projek ini tidak dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar sama ada dari dalam atau luar negara semata-mata.
“Projek ini hendaklah diuruskan sendiri oleh MRT Corp dan membahagikannya kepada beberapa skop sederhana dan kecil mengikut kesesuaian sepatutnya.
“Ia juga bertujuan supaya lebih banyak peluang diberikan kepada perunding dan kontraktor yang berkapasiti kecil dan sederhana untuk terlibat sama tanpa menjejaskan kualiti penghasilan MRT3,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan meluaskan capaian manfaat projek ini kepada keseluruhan rakyat Malaysia dengan memperbanyakkan reka bentuk dalaman serta hiasan stesen dan koc MRT bercirikan nilai budaya dan hasil kraf tangan tempatan.
“Besar harapan saya untuk melihat agar projek MRT3 ini dapat memberikan 1001 kebaikan kepada rakyat dan negara Malaysia yang tercinta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette