Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan penularan wabak Covid-19 khususnya membabitkan kluster perkilangan di negeri itu berada dalam keadaan terkawal.

Katanya, keadaan itu diputuskan selepas satu mesyuarat gerak kerja antara kerajaan negeri dengan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Kesihatan negeri , Majlis Keselamatan negeri dan Polis Diraja Malaysia untuk melihat penularan kluster industri.

Jelas Kon Yeow, mesyuarat semalam itu turut membincangkan usaha menangani kluster kilang daripada terus mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19.

“Setakat kini, Pulau Pinang mencatatkan 12 kluster aktif membabitkan 10 kluster kilang dan masing-masing satu kluster tahanan depoh serta pendidikan.

“Kita diberi maklum balas terkini di mana keadaan masih terkawal memandangkan kita adalah salah satu negeri mempunyai sektor perkilangan besar berbanding Selangor yang juga sebuah negeri industri.

“Selain itu, kes-kes positif Covid-19 dilaporkan tidak melonjak daripada kadar purata iaitu 120 hingga 150 setiap hari,” katanya dalam sidang akhbar di Komtar hari ini.

Menurut beliau, pihaknya masih belum menerima sebarang pengumuman berhubung keutamaan vaksinasi kepada pekerja barisan hadapan dari sektor ekonomi.

“Walaupun menteri sudah memberi janji menimbangkan barisan hadapan sektor ekonomi sebagai golongan bersasar untuk menerima vaksin kita masih belum terima pengumuman berhubung perkara itu.

“Tujuan permintaan itu dibuat susulan kluster kilang mencatatkan beberapa kluster aktif,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu seramai 100,566 atau 70 peratus pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19.

“Daripada jumlah itu saringan itu kira-kira 4,352 individu iaitu 4.14 peratus dilaporkan positif Covid-19.

“Sepatutnya program saringan ini tamat Mac namun saringan masih dijalankan sebab itu Perkeso sudah memberi amaran kepada majikan untuk segera melaksanakannya,” kata Kon Yeow

Tambah beliau, setakat semalam seramai 597,850 rakyat negeri itu sudah berdaftar untuk menerima vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette