KUALA LUMPUR – Sudah masuk tahun kedua umat Islam di negara ini tidak berpeluang menyambut satu Ramadan di kampung halaman masing-masing berikutan larangan pergerakan rentas negeri masih berkuatkuasa.

Kes positif Covid-19 juga masih tidak berkurang dari empat angka sejak beberapa bulan yang lalu justeru, menjadi salah satu faktor mengapa rakyat masih tidak dibenarkan untuk merentas negeri.

Jika diimbas kembali, bulan Ramadan tahun lalu disambut dalam suasana negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus membataskan pergerakan orang ramai ke tempat awam.

Namun pada tahun ini kemeriahan satu puasa agak terserlah berbanding tahun sebelum berikutan kerajaan telah membenarkan operasi bazar Ramadan, berbuka puasa di restoran dan juga menunaikan solat tarawih di masjid dan juga surau.

Bagi pekerja swasta, Azman Saim, 58, kedatangan Ramadan kali ini agak berbeza berbanding tahun lalu kerana lebih mudah untuk mendapatkan barangan keperluan asas.

Azman Saim

“Puasa tahun lalu agak teruk sedikit kerana pergerakan semua terbatas akibat PKP namun Ramadan kali ini sudah seperti biasa.

“Jika diingat semula, tahun lalu banyak kedai dan pasar mini ditutup sehingga menyebabkan orang ramai perlu beratur panjang semata-mata ingin mendapatkan barangan keperluan.

“Walaupun sudah banyak sektor dibuka dan diberi banyak kelonggaran, orang awam jangan lupa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang dikuatkuasakan lebih-lebih di tempat yang ramai orang seperti pasar,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Sue Mat Nasir, 35, tidak dapat menahan sebak ketika ditanya perbezaan sambutan Ramadan berbanding tahun-tahun sebelum.

Sue Mat Nasir

Sue berkata, dia amat merindui ibunya yang berada di Negeri Sembilan selain suasana berpuasa dan berbuka bersama-sama.

“Tak tahu nak cakap macam mana, rindu nak sambut puasa dengan mak dan suami juga sudah lama tidak pulang ke kampung halaman untuk menjenguk ibunya yang tinggal bersendirian.

“Saya juga berasa kasihan dengan anak-anak yang tidak dapat merasa suasana bagaimana berpuasa dan menyambut hari raya di kampung kerana sudah dua tahun berturut-turut kita masih tidak dibenarkan untuk merentas antara negeri,” ujarnya.

Turut berkongsi perasaan yang sama, peniaga, Mariam Parti, 55, berkata, sudah lama dia tidak dapat menjenguk ibunya yang berada di Teluk Intan, Perak terutamanya ketika Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Mariam Parti

“Saya di sini bersama anak-anak mengusahakan perniagaan kedai makan tapi memang tak dapat dinafikan masih rindu untuk berjumpa mak.

“Tahun lalu, sudah dua minggu kita berhari raya baru lah dapat pulang ke kampung,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga, Siti Noranissa Mohd Rahizan, 21, berkata, dia amat bersyukur kerana kedua ibu bapanya termasuk keluarga mertua menetap tidak jauh dari kediamannya di sini.

Siti Noranissa Mohd Rahizan

“Kasihan kepada orang lain yang terpaksa berjauhan dengan ibu bapa dan juga keluarga mereka di kampung.

“Saya sendiri sudah dua tahun tidak dapat pulang menjenguk nenek tapi apa boleh buat kerana kes Covid-19 pun masih belum reda,” katanya yang mengusahakan perniagaan menjual kurma. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast