GEORGE TOWN – Bazar Ramadan Umar Ibnu Al-Khattab yang terletak di Bayan Baru dilihat menjadi pilihan utama penduduk Pulau Pinang apabila ‘diserbu’ kira-kira 10,000 pengunjung semalam.
Kehadiran orang ramai itu bukan saja melebihi jangkaan pihak penganjur, menyebabkan para pengunjung terpaksa beratur kira-kira 50 meter dari pintu masuk utama bazar berkenaan.
Penganjur bazar Ramadan Umar Ibnu Al-Khattab, Taufik Mat Tajuddin berkata, pihaknya tidak menjangka akan menerima kunjungan 10,000 memandang sistem penggiliran diguna pakai bagi memastikan pengunjung mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Jelas Taufik, orang ramai mula membanjiri kawasan bazar sehingga hampir waktu berbuka ekoran terpaksa beratur panjang.
“Ingatkan orang tak ramai sebab penularan wabak Covid-19 serta terpaksa mematuhi pelbagai peraturan norma baharu untuk ke bazar tetapi jumlah yang datang amat luar biasa.
“Kita benarkan 120 pengunjung masuk ke dalam bazar pada satu-satu masa dan kita berterima kasih kepada mereka kerana tidak berada lama dalam kawasan itu, sekali gus memberi peluang kepada orang lain untuk turut sama membeli juadah berbuka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Taufik, pihaknya tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan itu menjadi tumpuan kerana lokasinya berhampiran kawasan perumahan dan perindustrian.
Katanya, sebanyak 80 gerai yang menjual pelbagai juadah tradisional dan masakan barat juga ‘mencuri’ perhatian orang ramai untuk mengunjungi bazar itu.
Difahamkan, sebelum pandemik Covid-19, bazar Ramadan di situ boleh menempatkan sebanyak 148 gerai.
“Kita juga percaya orang ramai teruja ke bazar kerana tahun lalu tiada peluang tersebut,” kata Taufik.
Sementara itu, seorang pengunjung Nur Amira Syazwan,28, berkata, gemar masakan kampung menyebabkan dia mengunjungi bazar Ramadan itu.
Wanita yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan itu berkata, dia datang ke bazar berkenaan selepas diberitahu rakannya terdapat juadah gulai batang pisang yang jarang dijual di bandar raya itu.
“Bagi memastikan saya dapat berbuka dengan juadah itu hari ini, saya terpaksa datang awal susulan tular di media sosial orang ramai terpaksa beratur panjang di bazar berkenaan,” katanya.
Semalam tular di media sosial pengunjung bazar Ramadan itu terpaksa beratur panjang berikutan kehadiran pengunjung yang di luar jangkaan. – MalaysiaGazette