loan moratorium Datuk Seri Najib Tun Razak. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 10 JULY 2017.
Najib Razak PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 10 JULY 2017.

KUALA LUMPUR – Trend peningkatan semula kes baharu harian Covid-19 membuktikan pelaksanaan darurat di negara ini gagal mengurangkan penularan virus itu.

Malah Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan kesilapan besar dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘separuh masak’.

Katanya, ia sekaligus menyaksikan sasaran kerajaan untuk mengurangkan kes positif harian kepada dua angka menjelang Mei ini agak malap.

“Sudah genap tiga bulan negara telah melaksanakan darurat dan PKP 2.0 dari 13 Januari lalu sehingga kini. Apakah ia (darurat+PKP2.0) berkesan dan adakah pelaksanaan darurat berjaya menghentikan penularan Covid-19?

“Rekod semalam menunjukkan jumlah kes baharu adalah 1,767 kes, jumlah kes aktif 16,300, jumlah pesakit dalam ICU adalah 199 orang, 12 kematian baharu dan sembilan kluster dikesan.

“Malah, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt (Rnaught) yang diberikan Kementerian Kesihatan juga naik lagi ke 1.09 (di atas paras neutral 1.00) semalam iaitu petunjuk bahawa jumlah jangkitan baru adalah dalam trend menaik,” katanya pada laman Facebook hari ini.

Menurut Najib, kesilapan besar yang dilakukan kerajaan PN ialah tidak melaksanakan PKP yang singkat tapi amat ketat tanpa kelonggaran.

Sebalinya, tambah beliau, kerajaan memilih untuk melaksanakan  PKP ‘separuh masak’ dengan segala kelonggaran diberikan kepada kilang-kilang, pusat membeli belah, kedai emas untuk beroperasi pada PKP 2.0.

“Akibatnya, kebenaran rentas negeri sempena Aidilfitri menjadi tanda tanya besar,” ujarnya. – MalaysiaGazette