Gambar hiasan

CHERAS – Tindakan licik dua individu menjadikan sebuah rumah teres sebagai tempat menyimpan bekalan dan menyeludup arak terbongkar dalam serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras.

Komander Briged Tengah PGA Cheras, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan dilakukan pada jam 12.30 tengahari semalam di sebuah rumah di Taman Oversea Union (OUG), Cheras.

“Dalam serbuan tersebut, pasukan kami telah berjaya menahan dua lelaki tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan tersebut.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan berjaya membawa kepada rampasan sebanyak 906 kotak arak dan liquor pelbagai jenis jenama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua arak jenis bir dan liquor yang dirampas itu membabitkan 20,194 tin dan botol atau 8,205.02 liter dengan kandungan alkohol antara empat hingga 43 peratus.

Menurut Muhammad, rampasan arak itu dianggarkan bernilai RM750,939.90.

“Menerusi serbuan ini kami berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai yang disyaki bergiat aktif agak lama di sekitar daerah Lembah Klang.

“Kedua-dua suspek berusia 47 dan 69 tahun itu telah ditahan untuk tindakan lanjut berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Pihak polis menyeru masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang–undang,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette