Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Agama Islam Negeri (MAINJ)Johor,Khirul Nizam Mad Said menziarahi Mat Sentol di Jalan Rajawali,dekat Larkin Jaya Pagi tadi.

Johor Bahru – “Sihat, semalam jalan-jalan ke bazar Ramadan tengok-tengok orang, tak beli apa-apa pun,” kata seniman lagenda Abdul Rashid Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol.

Ketika kunjungan Malaysia Gazette ke rumahnya di Jalan Rajawali di Larkin Jaya, Mat Sentol yang semakin dimamah usia masih bergaya dengan mengenakan topi koboinya yang merupakan trademark beliau.

Menurut pelakon dan pelawak yang berusia 88 tahun itu, beliau kini hanya tinggal berdua dengan anak lelakinya di kediaman tersebut sejak kematian isteri tercinta, Jamilah Kasri, 71, pada Disember lalu.

“Saya alhamdulillah sihat, sakit-sakit orang tua. Biasalah.

“Dah dua hari anak bawa saya ke bazar Ramadan, jalan-jalan tapi dia bawa saya awal sebab lambat-lambat nanti ramai orang,” katanya.

Pelakon yang popular dengan filem Mat Tiga Suku pada era 60-an itu kini banyak menghabiskan masa dengan menulis skrip mengenai kisah hidupnya.

“Adalah sikit-sikit, kalau saya Mat Sentol, tajuk tu “Mat Sentalla,” selorohnya.

Menurut anak lelaki beliau, Rosli Rashid, 59, walaupun bapanya berada dalam keadaan sihat namun Mat Sentol tidak pernah sakit terlantar seperti mana yang pernah didakwa.

Kecewa dengan perkongsian kurang tepat itu, beliau mengakui pemikiran dan pendengaran ayahnya masih baik.

“Ramai yang tanya betul ke abah sakit kuat, saya sebagai anak sedih dan jadi marah.

“Sebenarnya dia masih boleh bangun dan berjalan, terlantar tu tiada tetapi biasalah sakit orang tua, pergerakan tidak seperti dahulu,” katanya ketika dikunjungi pegawai Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di kediamannya pada pagi ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAINJ,  Khirul Nizam Mad Said memberitahu, pihaknya menyampaikan bantuan khas sebanyak RM300 kepada Mat Sentol.

“Selain itu, MAIJ turut bercadang untuk memberikan bantuan bulanan untuk menampung perbelanjaan bulanan perubatan beliau.

“Semoga beliau terus sihat dan apa yang kita tengok tadi Alhamdulilah, beliau sihat dan dapat berjalan ke bazar Ramadan

“Kita juga rasa syukur dan saya harap Uncle Mat Sentol diberikan kesihatan yang baik,” katanya.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Mat Sentol dikatakan lebih gemar berjalan kaki untuk ke satu-satu tempat untuk berurusan di sekitar Larkin namun kini beliau banyak menghabiskan masa untuk berehat di rumah. – MalaysiaGazette