JOHOR BAHRU – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Begitulah nasib seorang penghantar makanan apabila dia dihalau keluar oleh tuan rumah gara-gara tidak mampu membayar sewa selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Dalam kejadian itu, Meor Samsul Helmi Rahmatullah, 30, telah patah tulang paha kiri dan koyak kulit lututnya.
Insiden itu berlaku pukul 12 tengah hari di Jalan Dato Onn Utama menghala ke Lebuhraya EDL selepas dia menghantar makanan di Taman Perniagaan Suria pada 21 Februari lalu.
Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang berhenti di laluan kecemasan tanpa lampu kecemasan secara tiba-tiba bergerak menukar laluan menyebabkan motosikalnya terlanggar tepi bahagian kereta tersebut.
“Perlanggaran tersebut menyebabkan motosikal saya rosak teruk dan alami kecederaan patah tulang paha kiri dan koyak di bahagian lutut.
“Selepas keluar daripada Hospital Sultan Ismail bagi menerima rawatan dan kembali ke rumah sewa di Kampung Pasir, Tampoi di sini saya menerima satu lagi khabar sedih apabila tuan rumah telah mengarahkan saya keluar daripada rumah sewa tersebut.
“Dengan keadaan tidak mampu berjalan dan hanya bergantung kepada kerusi roda, tambahan pula isteri pada ketika sedang mengandung enam bulan, hidup kami betul-betul diuji.
“Saya tidak tahu ke mana arah hendak ditujui dengan keadaan fizikal seperti itu. Akhirnya kami membuat keputusan untuk tinggal bersama keluarga mertua di sini,” katanya ketika ditemui di rumah mertuanya di Taman Pulai Jaya, Skudai dekat sini hari ini.
Beliau ditemui dalam ziarah melibatkan Pengarah Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) Negeri Johor, Tong Sing Chuang dan wakil dari Grab Negeri Johor, Taufek Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Meor mengakui dirinya runsing apabila hilang mata pencarian antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan disebabkan kecederaan dialami selain isterinya, Julia Natasha Jamil, 24, kini sarat mengandung.
Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan sejak dua tahun lalu berkata, isterinya ada menjalankan perniagaan secara atas talian dengan menjual susu kambing namun pendapatan kira-kira RM1,000 itu tidak mencukupi.
Mujur dia ada membuat caruman yang diterima daripada pihak
PERKESO yang sedikit sebanyak memberi sinar harapan buatnya untuk meneruskan kehidupan.
“Saya tergerak hati untuk membuat caruman dengan PERKESO menerusi Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) setelah melihat ramai penghantar makanan tidak mendapat pampasan setelah terlibat kemalangan.
“Oleh itu, saya telah mendaftar dengan PERKESO sejak awal tahun lalu dan permohonan tersebut telah diluluskan kira-kira enam hari sebelum kemalangan berlaku.
“Mujur saya membuat keputusan yang tepat mencarum dengan PERKESO. Dapat jugalah duit caruman bagi meringankan beban saya,” katanya yang boleh berjalan semula dalam tempoh enam bulan lagi.
Dalam pada itu, Sing Chuang berkata, lelaki itu layak membuat tuntutan faedah perubatan di hospital serta menerima bayaran berdasarkan cuti sakit yang diterima.
“Selagi dia mendapat cuti sakit yang dikeluarkan, dia akan layak menerima bayaran mengikut kiraan yang ditetapkan.
“Selepas tamat tempoh cuti sakit, dia juga boleh mẹmbuat permohonan di bawah faedah hilang upaya kekal serta layak menerima alat pemulihan serta rawatan fisioterapi,” katanya.- MalaysiaGazette