Anggota bomba sedang memadamkan api yang berpunca daripada pembakaran sampah di Halaman Mayang 5, Bayan Baru hari ini.

GEORGE TOWN – Empat buah kenderaan musnah dalam kebakaran berpunca dari pembakaran sampah dalam satu kejadian di Halaman Mayang 5, Bayan Baru awal pagi tadi.

Jurucakap bomba Pulau Pinang berkata, pihaknya terima panggilan pada jam 2.10 pagi sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dikejarkan ke lokasi kejadian.

Kebakaran melibatkan empat buah kenderaan.

“Sebaik tiba pihak bomba dapati berlaku kebakaran melibatkan empat buah kenderaan iaitu sebuah van dan tiga buah kereta.

“Van dan sebuah kereta jenis Proton Iswara hangus sepenuhnya manakala dua kereta lagi terbakar 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota bomba memadamkan api di lokasi kejadian.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati kebakaran berpunca daripada pembakaran sampah berhampiran lokasi kejadian. – MalaysiaGazette