KUALA LUMPUR – Satu mayat lelaki ditemukan dalam keadaan cedera di kepala, telinga dan belakang badan di dalam rumah di Kampung Baru, Puchong, petang semalam.
Mangsa yang berusia lingkungan 70-an ditemui oleh seorang wanita tempatan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mayat simati telah dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman gantung sampai mati atau maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan di dalam rumah tidak menemui barang yang hilang kecuali telefon bimbit mangsa tidak ditemui.
“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya.
Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ray Erindra Raj a/l Raja Kumaran di talian (019-6616640) atau balai polis berhampiran.
Tambahnya, segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – MalaysiaGazette
















