ROM – Harapan Juventus untuk mencerahkan peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan kini di ambang bahaya.
Ini kerana juara bertahan gelaran Serie A Itali musim lalu telah kalah mengejut 1-0 kepada pasukan Atalanta dalam aksi liga domestik semalam.
Atalanta yang mengungguli tempat ketiga dalam liga dengan perbezaan dua mata belakang AC Milan yang juga menewaskan Genoa 2-1 semalam.
Skuad the Old Lady kendalian Andrea Pirlo menduduki tangga keempat selepas kekalahan semalam.
Napoli yang menghuni tangga kelima berpeluang menolak Juventus namun gagal memanfaatkan peluang itu apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan pendahulu liga Inter Milan.
Secara lazim empat pasukan teratas setiap liga di Eropah akan layak secara automatik ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Tanpa kelibat bintang dunia Cristiano Ronaldo yang tercedera, Juventus buntu di bahagian serangan dan lemah dalam menghasilkan gol.
Alvaro Morata pula gagal menyerlah dan mensia-siakan dua peluang besar untuk mencipta gol semalam.
Gol Ruslan Malinovsky pada minit ke-86 telah menyekat impian Juventus untuk mara ke tempat ketiga dalam carta liga.- MalaysiaGazette