Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai melawat dan memantau SOP ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bazar Ramadan Jalan Kuching, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI, 16 APRIL 2021.

KADAR jangkitan Covid-19 di Malaysia yang mencatat empat angka setiap hari amat membimbangkan. Sehingga kini, kumulatif bilangan kes pesakit telah mencecah seramai 375,054 kes berbanding 5,305 berbanding setahun yang lepas pada 18 April 2020.

Tiada tanda-tanda trend jangkitan ini akan menurun malah gelombang keempat penularan Covid-19 mungkin lebih teruk sekiranya langkah pencegahan dan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) tidak dipatuhi. Walaupun proses vaksinasi Fasa 1 (frontliner) telah bermula pada bulan Mac yang lalu, namum orang ramai dinasihatkan supaya terus mengamalkan norma baharu sebagai satu kemestian bagi memutuskan rantaian penyebaran Covid-19.

Walaupun kadar jangkitan Covid-19 agak mengerikan, tinjauan ke bazar-bazar Ramadan amat memeranjatkan apabila ada pihak yang tidak mengamalkan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Secara amnya, bazar Ramadan dibenarkan beroperasi pada pukul 3 petang sehingga 8 malam manakala bazar Aidilfitri boleh bermula pada pukul 10 pagi sehingga 12 tengah malam.

Kapasiti pekerja setiap gerai yang menjalankan perniagaan di bazar-bazar ini pula adalah seramai dua orang sahaja. Pekerja bazar perlulah diambil suhu badan dan diperiksa untuk sebarang gejala pada setiap hari. Pekerja yang mempunyai suhu yang melebihi 37.5° Celcius serta menunjukkan gejala seperti demam, sakit tekak, selesema, batuk atau susah bernafas adalah tidak dibenarkan untuk bekerja dan diminta untuk mendapatkan rawatan.

Selain daripada itu, setiap peniaga bazar Ramadan haruslah memakai pas khas yang boleh didapati daripada penganjur Bazar Ramadan. Selain berpakaian kemas dan bersih, peniaga haruslah memakai pelitup muka (face mask) dan digalakkan memakai pelindung muka (face shield) serta sarung tangan pakai buang.

Pemakaian apron pakai buang yang diperbuat daripada bahan plastik juga menjadi kemestian kepada peniaga bazar Ramadan. Barang-barang yang boleh dijual di bazar Ramadan adalah barang makanan dan minuman secara bungkus sahaja. Pada setiap hari dan setelah tamat operasi bazar Ramadan, setiap gerai perlu melakukan pembersihan dan nyah kuman.

Bagi orang ramai yang berkunjung ke bazar Ramadan haruslah mematuhi arahan keluar masuk dengan penjarakan fizikal sebanyak 1 meter antara satu sama lain. Orang ramai perlu beratur dengan jarak 1 meter di kawasan yang bertanda ketika hendak membeli juadah. Pengunjung bazar Ramadan diwajibkan memakai pelitup muka, mengunakan hand sanitizer serta mendaftarkan diri dengan mengunakan applikasi MySejahtera di pintu masuk dan di setiap gerai pembelian.

Sekiranya tiada liputan Internet, pengunjung perlu menulis di buku yang disediakan oleh peniaga. Pengunjung juga perlu melakukan pemeriksaan suhu di pintu masuk dan tidak akan dibenarkan masuk sekiranya suhu badan melebihi 37.5°Celcius. Bilangan pengunjung pada satu-satu masa ialah mengikut nisbah dua pengunjung bagi setiap gerai.

Penganjur bazar Ramadan seperti pihak berkuasa tempatan dan RELA perlu memastikan keselamatan, lalulintas dan pembersihan kawasan tapak perniagaan pada setiap hari. Mereka perlu menyediakan pelan lokasi yang menunjukan tanda arah dan susun atur bazar.

Penganjur bazar Ramadan juga perlu memastikan peniaga dan pengunjung bazar Ramadan mematuhi SOP. Tindakan akan diambil sekiranya peniaga gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti diberi amaran, dikenakan kompaun, malah penutupan bazar Ramadan boleh juga dilakukan.

Secara kesimpulannya, pematuhan SOP bazar Ramadan amatlah penting bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat dikekang. Bazar Ramadan yang terlalu sesak dan sempit perlulah dielakkan. Carilah gerai, kedai dan restauran yang tidak terlalu ramai, mengamalkan kebersihan, mematuhi penjarakan sosial serta SOP yang ditetapkan.

Amalkan lah pendekatan 3W iaitu kerap mencuci tangan (wash), memakai pelitup muka (wear) dan peka amaran daripada pihak kesihatan (warn) serta elakkan 3C iaitu jauhilah kawasan sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confned space) dan jangan bercakap terlalu dekat (close consversation). Bersama-samalah kita terus mengecapi nikmat juadah berbuka puasa tanpa mewujudkan kluster bazar Ramadan.

Oleh: Prof Madya Dr Azrul Hafiz b. Abdul Aziz
Pensyarah, Universiti Sains Islam Malaysia &

Dr Rahimah binti Mohd Sahudi @ Sahud
Pegawai Perubatan, KKM.