Anwar Ibrahim

PORT DICKSON – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan mungkin kekal bertanding di Parlimen Port Dickson, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, soal sama ada mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson atau tidak, masih belum diputuskan lagi oleh PKR.

“Hati ini sekarang ini tersangkut di Port Dickson sebab lebih senang, ‘convenient’ dan sudah kenal.

“Mengenai soal bertanding di sini ia terpulang pada keputusan parti. Kalau parti putuskan Port Dickson, maka saya akan bertanding di Port Dickson,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau di sekitar Port Dickson di sini hari ini.

Anwar yang juga presiden PKR berkata, kemesraan bersama rakyat di Port Dickson semakin baik, dan tidak timbul isu yang mengaitkan beliau adalah ‘orang luar’.
“Isu orang luar itu tidak timbul lagi, sebab dulu mereka takut orang luar ini jarang nak datang kawasan. Walaupun ada tanggungjawab lain, tetapi kawasan kita wakili harus dijaga,” katanya.

Pada 13 Okt 2018, Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti 23,560 undi dengan menewaskan enam pencabarnya.

PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 Sept tahun sama, bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

PRK itu adalah yang keempat diadakan dalam tempoh lima bulan, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung pada 9 Mei 2018.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast