Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh bercakap pada sidang media mengenai penangkapan suspek sindiket pendaftaran kelahiran palsu di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 20 APRIL 2021.

PUTRAJAYA – Kira-kira 200 pendaftaran kelahiran yang didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didapati palsu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh, pihaknya mendapat wujudnya sindiket pemalsuan pendaftaran yang didalangi seorang doktor di Putrajaya dan agen sindiket di Melaka.

“Modus operandi aktiviti sindiket ini adalah dengan menawarkan anak angkat kepada pasangan yang tidak mempunyai anak dan didaftarkan sebagai anak kandung.

“Doktor yang terlibat telah menandatangani dan mengesahkan Borang Kelahiran LM01. Sindiket akan memasukkan maklumat kanak-kanak serta maklumat pasangan seolah-olah anak tersebut dilahirkan oleh isteri pasangan tersebut.

“Kemudian agen bersama-sama pasangan tersebut akan menguruskan pendaftaran kanak-kanak ini di JPN,” katanya pada sidang media di JPN, hari ini.

Ruslin juga percaya, kes ini giat dijalankan kedua-dua suspek sejak 2009 yang kebanyakannya melibatkan ibubapa kaum Cina.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh menunjukkan borang daftar kelahiran pada sidang media mengenai penangkapan suspek sindiket pendaftaran kelahiran palsu di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 20 APRIL 2021.

Menurut beliau, kebanyakan bayi yang didaftarkan tidak diketahui siapa ibubapa kandung mereka dan diberikan kepada pasangan yang telah diaturkan oleh pihak sindiket.

Sindiket mengenakan bayaran antara RM8,000 sehingga RM20,000 bagi setiap urusan.

“Lanjutan daripada penangkapan ini, JPN telah berjaya mengesan kes pendaftaran yang melibatkan maklumat palsu oleh kegiatan sindiket ini dan lebih 200 rekod kelahiran berkaitan telah pun disenarai hitamkan,” katanya lagi.

Sindiket ini bocor apabila kanak-kanak itu tampil ke JPN untuk memohon kad pengenalan pada usia 12 tahun.

Dalam pada itu, Ruslin meminta ibubapa yang terlibat agar tampil memberikan kerjasama bagi menyelesaikan isu pendaftaran anak-anak terbabit.

“Selepas ini kita akan jejaki mereka satu persatu kerana kita ada maklumat kelahiran dan mereka tidak akan terlepas. Jadi tampillah beri kerjasama,” gesa Ruslin.

Beliau turut menggesa agar ibubapa yang ingin mendapatkan anak angkat supaya melalui proses permohonan yang teratur dan mengikut undang-undang.

Berikutan itu, JPN akan menjalankan siasatan di peringkat dalaman yang bertindak meluluskan permohonan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast