KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menjangkakan lebih banyak syarikat pembinaan yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan diperakui sebagai organisasi kemakmuran bersama melalui Sijil Perakuan e-Shared Prosperity Organisation – eSPO).

Ini berikutan keputusan syarikat yang diperakukan dengan Sijil Perakuan eSPO dapat meraih 5 mata untuk Program Pembangunan Kontraktor Secara Berterusan (Continuous Contractor Development – CCD).

CCD bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, dan kompetensi yang berkaitan di kalangan kontraktor. Mata CCD yang terkumpul adalah penting untuk tujuan memperbaharui lesen CIDB.

Sijil Perakuan eSPO dibawah kelolaan MPC, merupakan satu sistem dalam talian yang memperakui organisasi yang melaksanakan Sistem Upah Berkaitan Produktiviti (PLWS) sebagai organisasi kemakmuran bersama.

Menurut MPC, sijil ini diiktiraf oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM). CIDB turut mengiktiraf Sijil Perakuan eSPO dan menyarankan agar syarikat pembinaan memohon untuk mendapatkan sijil ini.

Sejak Sijil Perakuan eSPO dilancarkan pada bulan Disember 2020 sehingga Februari 2021, sebanyak 37 syarikat pembinaan telah diperakui sebagai organisasi kemakmuran bersama.

Jumlah penyertaan telah meningkat kepada 300 syarikat pada bulan April 2021 berikutan keputusan CIDB memberi 5 mata CCD untuk syarikat yang menerima Sijil Perakuan eSPO.

MPC optimis bahawa lebih banyak syarikat pembinaan akan memohon untuk Sijil Perakuan ini di masa hadapan. Ia dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 120 ribu syarikat pembinaan yang berdaftar dengan CIDB.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Haji Abu Seman berkata, pengiktirafan sebagai organisasi kemakmuran bersama melalui Sijil Perakuan eSPO memberi nilai tambah kepada syarikat-syarikat pembinaan.

Dengan pengiktirafan daripada CIDB yang memberikan 5 mata CCD untuk syarikat yang diperakui, MPC percaya lebih banyak syarikat pembinaan akan diperakukan di masa hadapan, sekali gus meletakkan syarikat kontraktor sebagai majikan dan rakan niaga pilihan kerana melaksanakan prinsip penciptaan kekayaan bersama.

“Setiap pihak, majikan dan pekerja mempunyai peranan penting dalam memastikan kelangsungan industri pembinaan. Persekitaran kerja yang sihat dan produktif dapat dicapai apabila pekerja mendapat ganjaran yang sewajarnya berdasarkan prestasi kerja dan sumbangan kepada syarikat. Ini adalah elemen organisasi kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan.

Syarat kelayakan untuk mendapatkan Sijil Perakuan eSPO adalah berdasarkan tiga (3) kriteria, iaitu bonus, produktiviti dan prestasi, dan kemahiran. Syarikat pembinaan yang berminat boleh melayari http://www.mpc.gov.my/espo/ untuk memohon sijil perakuan eSPO. – MalaysiaGazette