Gambar hiasan

SETIAP rakyat Malaysia berhak untuk mendapatkan pendidikan yang
sempurna dan pelbagai transformasi yang telah dilakukan kerajaan dari semasa ke
semasa dalam usaha untuk memperkembang dan membangunkan lagi sistem
pendidikan di negara ini. Dalam hal ini, pendidikan yang diperolehi di sekolah-
sekolah secara langsungnya tidak hanya tertumpu kepada subjek-subjek yang diajar
semata-mata.

Ini kerana pengalaman selama berada di sekolah mengajar setiap kanak-
kanak untuk mengenali pelbagai budaya, kaum dan agama yang pelbagai di negara
ini. Sikap tolong menolong yang dipupuk melalui tugasan di antara rakan sebaya,
hormat-menghormati perbezaan latar belakang, serta bertolak ansur dalam pelbagai
hal akan membentuk peribadi seseorang kanak-kanak itu untuk mengenali budaya
masyarakat Malaysia yang sebenar.

Sebagai contoh, percampuran di antara rakan-rakan yang berbilang kaum
dan agama sebenarnya boleh menghasilkan pelbagai situasi yang berbeza. Di
sinilah peranan sekolah sepatutnya mampu untuk mengajar bahawa setiap daripada
rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama rata lebih-lebih lagi dalam peluang
pendidikan.

Kewujudan sekolah kebangsaan misalnya, boleh menjadi satu platform
yang paling sesuai pada awal usia untuk mengajar kanak-kanak tentang perbezaan
latar belakang yang ada pada diri mereka dan rakan-rakan berbanding dengan latar
belakang yang sama. Disebabkan itulah, sekolah seharusnya mengajar bagaimana untuk mewujudkan keserasian dalam kalangan pelajar berbilang kaum ini untuk sama-sama memahami dan menghormati perbezaan budaya, bahasa dan agama tanpa mewujudkan  diskriminasi dalam apa juga aktiviti sekalipun seperti kokurikulum dan sukan.

Adalah sangat mengecewakan apabila diskriminasi perkauman masih berlaku di institusi pendidikan awalseperti yang dilaporkan media. Masih terdapat sekolah-sekolah yang meletakkan syarat perkauman bagi pendaftaran aktiviti kokurikulum terutamanya sukan. Kejadian seumpama ini telah mendapat reaksi dari Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menyelar tindakan seumpama itu dan menekankan bahawa sepatutnya aktiviti sukan adalah bersifat ‘color blind’ dan mampu menjadi agen perpaduan di sekolah.

Malah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim berkata, kejadian seumpama itu perlu dielakkan untuk mengekalkan kesejahteraan awam dan perpaduan rakyat. Jika dilihat semula, perkara seumpama ini bukanlah pertama kali berlaku di sekolah-sekolah, namun jika ia terus dipraktikkan, pasti perpecahan akan berlaku dalam masyarakat kerana wujudnya diskriminasi dari aspek peluang yang boleh diceburi di sekolah.

Peranan guru-guru juga akan dipersoalkan malah boleh menghilangkan rasa hormat dalam diri pelajar apabila mereka dibeza-bezakan mengikut latar belakang anak didik mereka. Diskriminasi seperti ini sepatutnya tidak patut berlaku dalam dunia hari ini terutamanya Malaysia yang telah mengecapi kemerdekaan sejak tahun 1957 lagi.

Masyarakat hari ini seharusnya lebih bersifat terbuka dan lebih tenang dalam kehidupan seharian di samping jiran-jiran, rakan-rakan dan ahli keluarga yang berbilang agama dan bangsa. Jika tidak dididik dari awal, ia boleh diumpamakan sebagai virus yang perlahan-lahan akan menular dan memusnahkan perpaduan dan keharmonian sedia ada dalam masyarakat.

Selain didikan dari rumah, didikan awal di sekolahlah yang sebenarnya akan memupuk peribadi dan identiti sebenar rakyat Malaysia yang berbeza dengan masyarakat lain kerana boleh bertoleransi untuk hidup dalam harmoni walau mempunyai latar belakang kaum, agama dan budaya yang berbeza.

Oleh: Dr. Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Negeri Sembilan.