Coordinating Minister of the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK) Khairy Jamaluddin AstraZeneca NPRA Sekhar Foundation
Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Tidak benar negeri Selangor terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan dua juta dos vaksin Covid-19.

Itu jawapan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khairy dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau masih belum menerima apa-apa permohonan rasmi daripada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu.

“Berkenaan dengan dakwaan kerajaan negeri Selangor “menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapat kelulusan yang diperlukan… untuk mendapatkan 2 juta dos buat rakyat Selangor,” ini adalah tidak benar.

“Dalam perbincangan saya dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amiruddin Shari), beliau ada sebut secara lisan perancangan Selangor untuk membeli vaksin.

“Saya memberi respons yang positif. Namun, sehingga kini saya belum menerima apa-apa permohonan rasmi dari pihak Kerajaan Negeri,” katanya menjawab kenyataan Anwar semalam.

Khairy berkata, hanya kerajaan negeri Sarawak memohon untuk membeli membeli vaksin itu daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya telah memberi respons yang positif dengan syarat vaksin yang ingin dibeli oleh Kerajaan Negeri Sarawak mestilah berdaftar di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terlebih dahulu memandangkan jenis vaksin yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri Sarawak masih dalam proses penilaian oleh NPRA,” jelas Khairy.

Kelmarin Presiden PKR mendakwa ada usaha untuk melengah-lengahkan inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk mendapatkan vaksin daripada kerajaan.

Anwar turut berkata beberapa kerajaan negeri, syarikat swasta dan yayasan telah berusaha sendiri untuk memperolehi bekalan vaksin yang telah diluluskan oleh NPRA sebagai respon terhadap kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini.

Malah beliau turut mendesak satu badan siasatan bebas perlu segera ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyiasat kadar pemerolehan vaksin yang rendah di negara ini.

Anwar juga berkata, langkah itu perlu bagi memastikan mengapa hanya tiga peratus rakyat Malaysia yang telah mendapat suntikan vaksin untuk melawan Covid-19.

Menjawab persoalan itu, Khairy berkata fasa ketiga PICK sedang dijalankan sebagaimana yang telah diumumkan pada 14 Februari lalu.

Katanya, perancangan PICK telah dibuat dengan mengambil kira jadual penghantaran vaksin yang diberi oleh syarikat-syarikat pembekal vaksin.

“Saya juga telah jelaskan bahawa mengikut unjuran kerajaan, bekalan vaksin kita akan mula ampuh bermula bulan Jun. Ini juga mengikut perancangan PICK yang mana vaksinasi massa fasa tiga dijadualkan bermula pada bulan Jun,” jelas Khairy.

Mengenai desakan untuk menubuhkan badan siasatan bebas, Khairy berkata; “Saya sentiasa terbuka untuk disoal, dikritik dan disiasat”. – MalaysiaGazette

Anwar tuntut siasatan bebas kadar pemerolehan vaksin rendah

1 Komen

Comments are closed.