SEBERANG PERAI -Pemandu lori tangki yang terlibat dalam insiden tumpahan minyak di Plaza Tol Juru semalam mendakwa mengalami kekejangan sehingga menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan tersebut
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya terima panggilan berhubung kejadian kemalangan dan tumpahan minyak masak di laluan plaza tol itu pada jam 12 tengah hari.
“Hasil siasatan mendapati pemandu berusia 42 tahun itu membawa bekalan 20,000 liter minyak mentah kacang soya dari Pelabuhan Klang untuk dihantar ke sebuah kilang di Perai.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan plaza tol tersebut lelaki berkenaan dikatakan mengalami kekejangan kaki dan tangan menyebabkan dia gagal mengawal lori tangki itu hingga berlaku pelanggaran.
“Lelaki itu melanggar tiang besi di bahagian kiri plaza tol sekali gus menyebabkan tangki minyak bocor dan berlaku tumpahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, susulan itu, pihak bomba dan PLUS telah melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.
“Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” ujar Shafee.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan sebuah lori tangki yang membawa muatan 20,000 liter minyak masak bocor selepas pemandunya terlanggar tiang sisi di Plaza Tol Juru arah utara di sini.
Kejadian itu menyebabkan berlaku tumpahan minyak sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas hampir empat kilometer. – MalaysiaGazette